NILAI – Pada 18 Jun 2020 genaplah 20 tahun usia Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang merupakan Institusi Pengajian Tinggi Awam ke-12 dan merupakan Universiti Islam pertama milik penuh Kerajaan. USIM yang terletak di Nilai, Negeri Sembilan di awal penubuhannya dahulu dikenali sebagai Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM) memilih tarikh 18 Jun untuk diraikan sebagai tarikh simbolik penubuhannya saban tahun kerana pada 20 tahun yang lalu, pada tarikh tersebut ia telah merakamkan salah-satu peristiwa bersejarah buat universiti ini.

Seramai 255 orang pelajar sulung yang datangnya dari pelbagai pelosok tanah air telah mendaftar di kampus sementara USIM (KUIM ketika itu) yang bertempat di Institut Profesional Baitulmal, Kampung Pandan, Kuala Lumpur. Kehadiran siswa sulung ini ibarat telah melengkapkan segala usaha yang panjang untuk menubuhkan universiti ini.

Hasrat dan usaha untuk melihat penubuhan sebuah Universiti Islam di Malaysia yang dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Malaysia telah lama bermula semenjak 1950an lagi terutamanya dengan tertubuhnya Kolej Islam Malaya (KIM) pada tahun 1956. Perbincangan ke arah merealisasikan usaha ini tidak pernah terhenti kerana melihat sudah sampainya masa dan keperluannya untuk Kerajaan menubuhkan sebuah Universiti Islam milik sepenuhnya Kerajaan Malaysia.

Sinar untuk sebuah Universiti Islam pertama milik sepenuhnya negara ditubuhkan semakin cerah apabila pada tanggal 25 September 1996, satu perbincangan mengenai penubuhannya telah diadakan untuk mendapatkan idea, cadangan dan konsep Universiti Islam yang ingin ditubuhkan.

Pada 11 Jun 1997, Mesyuarat Jemaah Menteri telah meluluskan penubuhan Universiti Islam pertama negara dengan nama Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM) dengan memiliki keunikan tersendiri iaitu kurikulum yang menekankan paduan ilmu Naqli dan Aqli dan KUIM diwartakan secara rasmi penubuhannya pada 13 Mac 1998. Penubuhan KUIM sekaligus menjadi titik tolak kepada memartabatkan Pendidikan Islam dengan membawanya ke dalam arus perdana pendidikan negara dan membuka ruang kepada penerokaan untuk mengembalikan keilmuan Islam yang unggul bersesuaian dengan persekitaran dan teknologi terkini.

Pada 20 Ogos 2002, Upacara Pecah Tanah Kampus tetap KUIM seluas 188 hektar telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad seterusnya, pada 1 Februari 2007 nama KUIM ditukar secara rasminya kepada USIM apabila Kementerian Pengajian Tinggi menaik taraf ia menjadi universiti penuh dan pada 25 November 2008 pula Perdana Menteri ketika itu, YAB Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi telah merasmikan kampus induk USIM.

Mengimbau kembali awal penubuhannya, USIM diperingkat awal penubuhannya memfokuskan tiga bidang program pengajian iaitu Pengajian Syariah dan Kehakiman, Pengajian al-Quran dan al-Sunnah dan Pengajian Dakwah dan Pengurusan Islam dengan tiga fakulti terawal ditubuhkan adalah Fakulti Syariah dan Kehakiman, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah dan Fakulti Dakwah dan Pengurusan Islam. Bermula pada sesi akademik 2002/2003, sebuah lagi fakulti baharu ditubuhkan bagi memperkembangkan bidang ekonomi Islam iaitu Fakulti Ekonomi dan Muamalat.

Kini, USIM sudah mempunyai sembilan buah fakulti dengan tujuh darinya berada di kampus tetap di Nilai iaitu Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Fakulti Sains dan Teknologi, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina. Manakala Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan dan Fakulti Pergigian beroperasi di Kampus Cawangan USIM di Pandan Indah, Ampang.

USIM menawarkan sebanyak 85 program pengajian dengan pecahan sebanyak 32 program di peringkat Sarjana Muda, 49 program di peringkat Siswazah dan 4 program di peringkat Tamhidi. Secara keseluruhan, sebanyak 67 program akademik (77.9%) yang ditawarkan di USIM mencapai status akreditasi penuh oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) manakala 14 program (16.3%) mendapat akreditasi sementara.

Semenjak penubuhannya, USIM telah melahirkan seramai 22,634 alumni dengan pecahan seramai 20, 471 graduan peringkat Sarjana Muda dan 2,163 graduan peringkat Siswazah yang kini telah berkhidmat di pelbagai sektor dan industri di dalam dan luar negara. Melalui program-program akademik berkualiti yang ditawarkan dan program pembangunan mahasiswa dan bakal graduan yang berstruktur, ia memberi kelebihan kepada para graduan USIM untuk bersaing dan mendapat permintaan yang tinggi dalam pasaran pekerjaan. Ini dibuktikan pada tahun 2019, USIM telah berjaya mencapai Kebolehpasaran Graduan (GE) sebanyak 93% dan berada di tangga keenam dalam kalangan 20 Universiti Awam di Malaysia. Dapatan ini menjadi salah-satu indikator yang memperlihatkan graduan USIM berdiri setanding dan mempunyai kualiti graduan cemerlang seperti graduan universiti awam yang lain.

Meneruskan legasi cemerlang kepemimpinan Naib Canselor sebelum ini serta membawa suntikan baharu untuk menjadikan universiti lebih gemilang dan tersohor, Prof. Dr. Mohamed Ridza Wahiddin selaku Naib Canselor semasa USIM akan terus membawa USIM terus maju ke depan dengan membawa agenda ’Mentransformasi Universiti Sains Islam Glokal Berimpak Tinggi Menjelang 2022’. Beliau meletakkan lima teras strategik yang akan menjadi fokus universiti untuk USIM menjadi glokal iaitu: Kesarjanaan berimpak membina kebitaraan ummah; Kepelbagaian sumber data perbelanjaan berhemah; Memperkasakan model quintuple helix untuk semua; Beradab, holistik dan seimbang; dan teras kelima adalah Profesional berintegiriti, kompeten dan berdaya saing.

Bagi memastikan Misi 2022 itu tercapai, sebanyak tujuh Annual Goals 2020 digariskan oleh beliau untuk dilaksanakan pada tahun ini iaitu Infaq Campaign Crowd Funding; Prospective Students and Alumni; Prosumerism Initiative Developer Enterprenuer; Da’wah and Multi-Cultural Society and Volunteerisme; Public Interest Intellectuals; Students Accomodation; dan Personal Tutelage for Teaching and Learning.

“Glokal itu adalah istilah yang menggabungkan ‘global’ dan ‘lokal’, di mana saya ingin terjemahkan di peringkat antarabangsa, USIM akan dilihat sebagai universiti yang tersohor disamping kita masih mengekalkan jati diri dan nilai-nilai murni yang menjadi teras universiti ini,” ujar Prof. Dr. Mohamed Ridza.

“Pada masa yang sama, dalam melengkapkan misi USIM 2022, Universiti juga menerapkan ’Kempen Jom Infaq’ dan ’I am Prosumer’. Melalui kempen wakalah wakaf yang dijenamakan sebagai ’Jom Infaq’, Universiti menggalakkan penglibatan staf untuk berinfaq bagi membantu ahli dalam kalangan staf yang kurang berkemampuan, manakala pelajar membantu rakan pelajar. Manakala, melalui ungkapan ’I am a Prosumer’, Universiti berhasrat untuk menghasilkan staf dan pelajar yang merupakan pengguna produk atau teknologi dalam masa yang sama mampu menghasilkan sesuatu produk,” tambahnya.

Pencapaian tahun 2020 amat signifikan buat USIM. Pertama kali tersenarai dalam Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings, USIM dianugerahkan 3 bintang secara keseluruhan dengan beberapa bidang yang dinilai oleh QS Stars Rating menunjukkan USIM mempunyai kekuatan dan kelebihan untuk melonjak lebih tinggi selepas ini. Antaranya penarafan 5 bintang untuk kemudahan (facilities) dan 4 bintang bagi tiga kategori lain iaitu pengajaran (teaching), kebolehpasaran graduan (employabilities) dan keterangkuman (inclusive).

USIM amat bertuah kerana menjadi universiti awam yang pertama membuka kampus induknya di Negeri Sembilan, sebuah negeri yang kaya dengan adat dan warisan tersendiri serta khazanah kebudayaan dan sejarah silam yang gemilang. Sebagai antara universiti awam yang bertapak di Negeri Sembilan, USIM sentiasa menyokong misi dan visi kerajaan Negeri Sembilan yang makmur di bawah naungan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir dan Duli Yang Maha Mulia Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud selaku Canselor USIM.

Disediakan oleh :
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)