NILAI, 17 Ogos 2022 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) akan menganjurkan Program EduFair bersempena dengan Fasa Kemaskini UPUOnline bagi lepasan STPM/Setaraf untuk Sesi Akademik 2022/2023 bermula 23 Ogos sehingga 25 Ogos 2022.

Menurut Pengarah di Pusat Pemasaran dan Kemasukan Pelajar (PPKP), Prof Madya Dr Nurkhamimi Zainuddin berkata, program EduFair yang diadakan secara dalam talian ini adalah sebagai inisiatif khas dari USIM untuk membantu para pelajar lepasan STPM/Setaraf mendapatkan maklumat lanjut tentang program akademik yang ditawarkan di USIM secara khususnya dan juga meningkatkan kesedaran kepada para pelajar untuk membuat kemaskini permohonan di UPUOnline dengan segera dalam tempoh yang ditetapkan.

“Ini kerana, ada di antara para pelajar yang terlepas pandang dengan keperluan untuk membuat kemaskini permohonan di UPUOnline supaya para pelajar dapat memilih program pengajian yang tepat berdasarkan syarat kemasukan dan merit yang ditetapkan dan seterusnya diterima masuk ke IPTA yang dipilih,” katanya lagi.

Antara aktiviti yang dijalankan semasa program EduFair ini berlangsung ialah sesi konsultansi bersama para pensyarah, sesi soal jawab bersama pegawai kemasukan USIM dan juga sesi pentas utama yang menampilkan figura terkenal seperti Dr Kamilin Jamilin, slot bersama pegawai kemasukan KPT dan PTPTN.

“Oleh itu, saya amat berharap agar para pelajar lepasan STPM/Setaraf di luar sana dapat mengambil peluang ini untuk mendapatkan info dan maklumat penting mengenai program pengajian di USIM dan dapat menghebahkan program ini kepada lebih ramai peserta untuk mendaftar,” katanya lagi.

Penyertaan ke program ini adalah percuma dengan hanya mendaftar di portal program EduFair iaitu https://edufair.usim.edu.my dan para pelajar akan dibekalkan dengan pautan zoom untuk berinteraksi bersama para pensyarah di USIM.

Program EduFair ini merupakan kali ketiga pelaksanaannya di USIM dan ianya bermula semasa pandemik Covid-19 di mana usaha mempromosikan program pengajian dibuat secara dalam talian.

 

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan