KAJANG, 11 Januari 2023 – Dalam usaha meningkatkan motivasi tentang peluang pekerjaan kepada penghuni-penghuni penjara, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia menganjurkan Karnival Kerjaya yang disertai oleh 50 orang penghuni yang sedang menjalani Rawatan Pemulihan Dadah di Penjara Kajang semalam.

Program yang diterajui oleh Asian Centre for Research on Drug Abuse (ACREDA) Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) USIM ini merupakan salah satu latihan lapangan bagi peserta kursus Certified Abuse Treatment Practitioner (CSATP) Kohort Pertama yang disertai oleh 30 Pegawai-Pegawai Penjara seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

Prof. Madya Dr. Amin Al Haadi Shafie yang juga Pensyarah FKP selaku Ketua Projek CSATP berkata, kursus ini telah dijalankan selama tiga bulan bermula Oktober 2022 sehingga Januari 2023 bagi memberi pendedahan berkaitan kaunseling kerjaya kepada pegawai-pegawai penjara untuk membantu penghuni-penghuni penjara agar mempersiapkan diri dengan persediaan mental dan fizikal dalam dunia pekerjaan selepas dibebaskan kelak.

“Kami sasarkan seramai 100 orang peserta yang akan megikuti kursus ini. Kohort kedua akan bermula pada Mac dan April 2023 sehinggalah penyertaan kohort berikutnya. Tenaga pengajar kursus ini terdiri daripada para penyelidik ACREDA, pensyarah daripada program komunikasi, akidah dan dakwah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan serta Pensyarah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan”.

Pelbagai pengisian dijalankan sepanjang karnival ini antaranya Bengkel Penulisan Resume, Bengkel Instrumen Kerjaya dan Bengkel Pengurusan Diri. Beberapa syarikat dan agensi yang hadir adalah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Auto Global Part Sdn Bhd, Second Life Human Resource dan Juwara Resources & Trading Sdn Bhd.

Sementara itu, Dato’ Haji Nordin Haji Muhamad, Komisioner Jeneral Penjara dalam ucapan perasmiannya menzahirkan ucapan terima kasih kepada majikan-majikan yang hadir serta menawarkan pekerjaan kepada penghuni penjara ini, dan berharap semua pegawai yang terlibat dalam modul ini dapat melaksanakan apa yang telah dipelajari dan dipraktikkan setelah kembali ke jabatan masing-masing.

Turut hadir adalah Felo Penyelidik ACREDA, Dato’ Dr. Abd Halim Mohd Husin dan Penolong Naib Canselor Perancangan Strategik dan Komunikasi Korporat, Prof. Madya Dr. Mahazan Abdul Mutalib@Talib.

 

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan