NILAI, 29 Mac 2021 – Pertandingan Debat Inter Asasi Universiti Awam 2021 buat julung kalinya dilaksanakan secara dalam talian, berikutan pandemic Coivd-19 yang masih belum reda.  Kali ini Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) diurusetiakan oleh Pusat Tamhidi menjadi penganjur utama, dengan kerjasama Majlis Dekan/Pengarah Pusat Asasi Universiti Awam Malaysia menyaksikan sebanyak 212 orang peserta mewakili 53 pasukan keseluruhannya, dan 27 sidang telah berjalan serentak pada setiap pusingan perdebatan yang berlangsung. Majlis Perasmian Penutup telah dirasmikan oleh Naib Canselor USIM Prof Dato Dr Mohamed Ridza Wahiddin.

Berlangsung selama dua hari bermula 26 hingga 28 Mac 2021, program ini dilihat sangat signifikan bagi memartabatkan perdebatan sebagai wadah berdiskusi secara professional seterusnya memupuk sifat-sifat kepimpinan, profesionalisme dan semangat kerja berpasukan. Sekaligus ia melahirkan mahasiswa dan mahasiswi yang mampu berfikiran analitis dan kritis dalam mengupas sesuatu isu.

Prof Dato Dr Mohamed Ridza Wahiddin dalam ucapannya berkata, menguasai kemahiran pengucapan awam adalah amat penting untuk memastikan ucapan, pembentangan atau penyampaian sesuatu kerja dilaksanakan dengan berkesan dan efektif. Penglibatan pelajar di dalam aktiviti-aktiviti yang dijalankan berupaya memberi pendedahan kepada pelajar dalam berkomunikasi bagi meningkatkan keyakinan untuk menempuh alam pekerjaan selepas tamat pengajian mereka.

Tambah beliau lagi, pertandingan Debat Inter Asasi ini dapat mengeratkan hubungan dan mewujudkan jaringan intervarsiti dalam kalangan pelajar asasi universiti awam yang terlibat, di samping mengasah kemahiran pengucapan awam dan seni orator, sekaligus memartabatkan Bahasa Malaysia sebagai Bahasa Kebangsaan serta memperkukuhkan kemahiran berbahasa Inggeris.

Johan Kategori Bahasa Inggeris dimenangi oleh Kolej Matrikulasi Johor (A), juga Pendebat Terbaik Akhir kategori Bahasa Inggeris dimenangi oleh saudara Imran Zamil Najwah dari Kolej Matrikulasi Johor (A). Manakala Johan Kategori Bahasa Melayu dimenangi oleh Pusat Asasi Universiti Malaya (A), dan pendebat Terbaik dimenangi oleh saudara Shah Iqbal dari Pusat Asasi Universiti Malaya (A). Johan membawa pulang wang tunai RM1000, sijil penyertaan dan cenderahati.

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan