Nilai, 18 Februari 2009 – Unit Kebudayaan Hal Ehwal Pelajar Universiti Sains Islam Malaysia buat kali ketiga menganjurkan Program Penggalakkan Ketrampilan Anggun (PEKA) 2009 pada 18 hingga 25 Februari 2009 bertempat di Pusat Kemudahan Pelajar USIM. Tema program pada kali ini ialah Trendy..Anggun dan Menawan.

Majlis Perasmian disempurnakan oleh Dato’ Noraini Ahmad, Timbalan Menteri Sumber Manusia. Menurut beliau program-program kebudayaan dan kesenian yang berteraskan Islam merupakan komponen penting yang boleh menjadi penyumbang kepada pembangunan sahsiah serta dapat mendekatkan diri pelajar dalam mengenal jatidiri dan rupa bangsa itu sendiri.

“Perkembangan sahsiah yang seimbang dan holistik boleh bertindak sebagai agen yang mengimbangi keperluan jasmani, kestabilan emosi, rohani dan tahap intelektual pelajar”, katanya lagi.

Antara objektif program PEKA ialah meningkatkan kesedaran dan rasa kecintaan pelajar kepada rekaan busana yang bersifat kontemporari, selesa, terkini dan selari dengan perkembangan semasa serta penampilan siswa dan siswi USIM dimata masyarakat khususnya di alam pekerjaan kelak. Penaja program ialah Butik Hajaba dan Ilham Lisa Creation.

Program ini merupakan antara aktiviti yang dirancang setiap tahun bermula tahun 2006 hingga sekarang bagi meningkatkan kesedaran dan rasa kecintaan pelajar kepada rekaan busana yang bersifat kontemporari, selesa, terkini dan selari dengan perkembangan semasa.

Pihak universiti merasakan perlunya diadakan program pengalakkan Busana Muslimah yang boleh memberi kesan yang lebih luas dan berkesan dikalangan pelajar Universiti Sains Islam Malaysia bagi  menaikkan imej dan penampilan siswa dan siswi USIM dimata masyarakat khususnya dialam pekerjaan kelak.

Antara pengisian PEKA 2009 ialah perlancaran majalah BROSIS yang merupakan karya pelajar Sastera Kreatif Unit Kebudayaan serta mengedarkan beberapa buah buletin fesyen terkenal seperti Dara dan Nur yang memaparkan fesyen- fesyen terkini Busana Muslimah yang boleh menjadi pemangkin dan anjakan paradigma pelajar kepada konsep pemakaian  yang bersesuaian dengan perkembangan terkini. Selain itu turut diadakan peragaan fesyen oleh pelajar dan Butik Hajaba, bengkel kecantikan, persembahan kebudayaaan dan jualan gerai kelengkapan muslimah.

Oleh :
pro@usim.edu.my
8025/8026/8028