NILAI, 23 Mac 2022 – Universiti Sains Islam Malaysia mengambil inisiatif untuk memberi pendidikan dan kesedaran kepada pelajar berkaitan pindaan Perlembagaan dan tanggung jawab menunaikan hak masing-masing sebagai pengundi melalui penganjuran Program Pendidikan Pengundi: Undi 18 yang diadakan pada 23 Mac 2022 bertempat di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Program tersebut telah dianjurkan selama satu hari dan dijalankan secara hibrid selaras dengan situasi semasa pandemik COVID-19.

Program Pendidikan Pengundi: Undi 18 ini dianjurkan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar USIM serta turut ditayangkan secara langsung melalui Facebook Live USIM dan telah menarik minat majoriti pelajar yang ingin mendapatkan maklumat yang sahih berkenaan pilihan raya dan tanggungjawab sebagai pengundi.

Penganjuran program ini adalah bertujuan untuk memberi kesedaran kepada pelajar terhadap proses demokrasi dan pelaksanaan pilihan raya di Malaysia. Selain itu, program ini juga memberi pendedahan kepada pelajar USIM agar cakna dengan pindaan Perlembagaan yang berkuatkuasa dan hak sebagai seorang pengundi.

Dirasmikan secara virtual oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia, YB Senator Datuk Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri, pengisian program adalah berkisar kepada pendidikan proses pilihan raya oleh pihak Akademi Pilihan Raya, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr. Adnan Mohamed Yusoff berkata, program Pendidikan ini akan memberikan pendedahan khususnya kepada pelajar yang pertama kali menjadi pengundi dan seterusnya menjadi pengundi yang bertanggungjawab dan menjalankan amanah yang diberikan. “Sambutan kepada program ini adalah amat baik dengan kehadiran sejumlah besar peserta secara fizikal dan dalam talian,” ujarnya. “Pandemik COVID-19 ini tidak menjadi penghalang kepada pihak pengurusan untuk berusaha mendidik dan mendekati pelajar berkaitan pendidikan dan pengetahuan pilihan raya” ujarnya lagi.

Diharapkan agar pelajar mendapat manfaat dan ilmu berkenaan proses pilihanraya dan memupuk kesedaran agar menjalankan tanggungawab sebagai pengundi.

 

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan