Putrajaya, 25 September 2010 –  Universiti Sains Islam Malaysia melakar kegemilangannya apabila berjaya menganugerahkan gelaran Profesor Emeritus yang pertama kepada Y.Bhg. Prof. Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Shukor Haji Husin, mantan Naib Canselor USIM.

Beliau telah diamanahkan menerajui USIM pada 1 Disember 1999 sebagai Naib Canselor pertama. Selama 10 tahun menerajui USIM, hasrat beliau untuk melahirkan sebuah pusat pengajian yang berpendidikan bersepadu telah terserlah dengan penubuhan lapan fakulti, dua institut dan tiga pusat tamhidi.

Selepas menamatkan khidmat sebagai Naib Canselor USIM, khidmat beliau terus diperlukan. Pada masa ini, Abdul Shukor mengetuai Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD) di samping tugas beliau sebagai Pengerusi Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan di bawah Majlis Raja-Raja.

Dalam bidang akademik pula, Prof. Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Shukor sering dilantik sebagai Profesor Madya di beberapa universiti tempatan dan luar negara. Menjadi Penilai Luar kepada tesis master dan PhD di beberapa pusat di Institusi Pengajian Tinggi Awam Tempatan.

Khidmat beliau kepada negara dan agama yang tidak mengenal erti penat dan lelah, disiplin serta komitmen yang tinggi terhadap kejayaan dan kecemerlangan amatlah disanjungi dan ini membuktikan keperibadian beliau yang mulia.

Oleh :
Siti Maizatul Akmar Ismail
Pembantu Wartawan
Unit Komunikasi Korporat
pwartawan@usim.edu.my
Tel : 06-7988025/8026/8027/8028