USIM beralih kepada Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN)

NILAI, 9 September 2021 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) beralih ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) susulan pengumuman YAB Perdana Menteri pada 2 September  2021 lalu mengenai peralihan dari Fasa 2 PPN ke Fasa 3 bagi Negeri Sembilan. USIM secara tidak langsung terlibat dengan penguatkuasaan Fasa 3 mulai 4 September 2021 baru baru ini, walau bagaimanapun, Kampus Pandan Indah masih kekal dengan penguatkuasaan Fasa 1 PPN sebagaimana notis bertarikh 30 Julai 2021.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam oleh Naib Canselor Prof Dato Dr Mohamed Ridza Wahiddin, susulan pengumuman ini, notis pengoperasian pejabat susulan Peralihan ke Fasa 2 PPN bertarikh 1 September 2021 yang dikeluarkan oleh Pejabat Naib Canselor adalah terbatal.

Pengoperasian pejabat pada Fasa 3 PPN ini akan berkuat kuasa pada 13 September ini, di mana staf perlu menghadkan tempoh keberadaan di pejabat tidak melebihi empat (4) jam serta menyelesaikan tugasan pada kadar segera.

“Semua staf akademik dan staf pentadbiran termasuk tetap, sementara, kontrak dan Pekerja Sambilan Harian hendaklah digilirkan atau dijadualkan untuk bertugas di pejabat atau lokasi lain yang ditentukan oleh Ketua Pusat Tanggungjawab tidak melebihi 30% daripada bilangan staf”, jelas Dato Ridza.

“Ketua Pusat Tanggungjawab yang berhasrat untuk meningkatkan peratusan bertugas di pejabat hendaklah mengemukakan permohonan rasmi melalui Ketua Bahagian, Bahagian Pematuhan Syariah, Integriti, Pengurusan Risiko dan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan”.

Beliau menambah, kehadiran pelajar ke dalam Kampus adalah melalui pintu masuk utama Universiti sahaja. Proses saringan kesihatan perlu dijalankan, serta kemasukan dalam keadaan terkawal untuk memudahkan pemantauan dilakukan.

Manakala kehadiran pelawat luar secara terkawal akan  dijalankan iaitu dengan menggunakan laluan pintu masuk utama Universiti serta proses saringan kesihatan sebelum memasuki kawasan Kampus. Pelawat hendaklah merekod kehadiran dan keberadaan dengan mengimbas Kod QR MySejahtera yang dipamerkan atau mengisi Buku Log Urusan Kaunter yang disediakan di premis pejabat.

Selain itu, bagi staf yang menghantar anak ke Taska USIM, mereka boleh merancang dengan pihak taska berikutan ia akan beroperasi secara terkawal. Walau bagaimanapun, kelonggaran diberikan sekiranya staf menghadapi kesukaran menguruskan anak kerana penutupan sekolah atau pusat jagaan harian, perubahan sesi persekolahan atau kekangan ruang pusat jagaan harian atau mempunyai anak yang tidak sihat dan tidak dibenarkan berada di pusat jagaan harian kerana mempunyai simptom seperti demam, batuk dan selesema boleh dipertimbangkan atas budi bicara Ketua Pusat Tanggungjawab untuk meneruskan tugasan secara Bekerja Dari Rumah atau secara penggiliran atau penjadualan.

Manakala bagi staf yang merentas negeri, perlulah memohon Surat Pengesahan Bertugas melalui Portal iStaff.

Warga USIM juga disaran mematuhi Garis Panduan Pengoperasian Pejabat Susulan Peralihan ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara seperti yang telah diedarkan bagi menjelaskan kaedah bertugas di pejabat dan di rumah kepada staf dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara tersebut.

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan

 

2021-09-09T07:00:21+08:00
Go to Top