SERDANG, 15 Dis – Kumpulan Nasyid Interacksee Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) membolot Anugerah Emas bagi tiga kategori  aitu Persembahan, Lirik dan Busana/Tatarias Terbaik sempena Festival Filem Nasyid di Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (MAKUM) 2013 yang bertempat di Panggung Percubaan UPM.

Kemenangan ini sekaligus menobatkan USIM sebagai Naib Johan yang membawa pulang wang tunai sebanyak RM2000 dan piala iringan. Sementara itu, Johan pula dimenangi oleh Universiti Putra Malaysia dan tempat ketiga dimenangi oleh Universiti Malaya.

USIM yang tampil dengan lagu bertajuk Gelora Muara Jiwa berentak kontemporari nasyid moden dengan berkonsepkan ‘marching’ ini ditulis lirik oleh pelajar alumni USIM sendiri iaitu saudara Shukri Sahari yang juga merupakan Urus Setia Kesenian Pelajar , Unit Kebudayaan Bahagian Hal Ehwal Pelajar USIM.

Katanya, dengan kemenangan ini melakarkan sejarah yang amat membanggakan dan bersyukur kerana USIM yang baru setahun jagung ini bersaing dengan universiti yang sudah menempa nama di peringkat kebangsaan seperti UPM dan UKM. Tambahan pula bukan senang meraih kejayaan apabila berhadapan dengan pelbagai dugaan semasa sesi latihan ditambah dengan kesuntukan masa yang mereka hadapi dalam mempersiapkan diri untuk pertandingan tersebut.

“ Irama nasyid sekarang dipandang sepi dan tidak serancak nasyid zaman kumpulan Raihan dan Rabbani, oleh kerana itu kita seharusnya berani mencari formula baru untuk menjadikan nasyid ini kembali bernadi di hati masyarakat”, tambah beliau lagi.

Beliau yang bergiat aktif dalam menghasilkan beberapa lirik lagu ini bakal melibatkan diri dengan rakaman album zikir oleh seorang pendatang nasyid baru dalam masa terdekat ini. Di samping akan terlibat dengan program Puisi Riong bersama Berita Harian yang bakal diadakan di USIM tahun hadapan.

Disediakan oleh:

Noorumaina Mohamed Yunus

Penolong Pegawai Media StraComm