NILAI, 3 Ogos 2022 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) membuka laluan untuk kemasukan khas ke USIM melalui Mod B40 (kategori pendapatan isi rumah di bawah RM 4850) bagi memberi peluang kepada para pelajar lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM)/Setaraf untuk menyambung pengajian ke peringkat Sarjana Muda di USIM.

Pengarah di Pusat Pemasaran dan Kemasukan Pelajar, Prof Madya Dr Nurkhamimi Zainuddin berkata, bagi kemasukan melalui Mod B40 ini, USIM menawarkan sebanyak 29 program pengajian dari tujuh buah fakulti.

”29 buah program pengajian itu termasuklah enam program dari Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), tiga program dari Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS), Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU), Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), lima program dari Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM), tujuh program dari Fakulti Sains dan Teknologi (FST) manakala dua program lagi adalah dari Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB)”, ujarnya.

Menurut beliau lagi, ini merupakan inisiatif USIM untuk memastikan pelajar yang layak dan memenuhi syarat tetap mendapat tempat untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Peluang kemasukan ini juga memberi peluang kepada para pelajar di luar sana yang tidak mengisi permohonan ke UPUOnline atau tidak berjaya mendapat tawaran di mana-mana Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan boleh memohon untuk masuk ke USIM melalui Mod B40 ini.

Walau bagaimanapun, pelajar yang ingin memohon masih perlu untuk mematuhi syarat am dan juga syarat khas kemasukan ke program pengajian yang ditawarkan di USIM, tambahnya lagi.

Kesemua permohonan adalah secara dalam talian iaitu melalui portal https://eug.usim.edu.my dengan memuat naik segala dokumen yang diperlukan. Untuk makluman lanjut, pemohon boleh melayari laman web https://admission.usim.edu.my/kemasukan-mod-b40. Permohonan adalah percuma dan tarikh tutup permohonan adalah pada 10 September 2022.

 

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan