NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mencatatkan pencapaian membanggakan apabila merekodkan kadar kebolehpasaran graduan (GM) sebanyak 97.6% bagi tahun 2024. Ia melepasi penetapan sasaran nasional sebanyak 86.4% yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Pencapaian kebolehpasaran graduan ini merangkumi status empat indikator iaitu bekerja, melanjutkan pengajian, meningkatkan kemahiran dan menunggu penempatan dengan kadar responden sebanyak 99.5% bersamaan 2,937 graduan warganegara.
Selaras dengan pengenalan operasi baharu, Kadar Bekerja Graduan (GE) USIM mencatatkan sebanyak 97.6% merujuk kepada perkadaran graduan bekerja kepada bilangan graduan dalam tenaga buruh.
Naib Canselor Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani berkata, pencapaian ini hasil kerjasama secara konsisten semua pihak di fakulti menerusi pendekatan holistik yang diterapkan dalam aspek pembangunan sahsiah dan akademik pelajar selain sokongan daripada Pusat Kerjaya dan Alumni USIM dan industri.
“Ia memperlihatkan perkembangan positif yang meletakkan USIM dalam kalangan universiti yang berjaya menghasilkan graduan berkualiti dan bersedia untuk menempuh alam pekerjaan”.
“Saya berharap agar kejayaan ini terus diperkukuh menerusi program pemantapan kemahiran insaniah, bimbingan kerjaya dan pendedahan kepada pengalaman industri sebenar yang menyeluruh kerana graduan perlu memiliki nilai tambah untuk mendapat tempat di industri pekerjaan”, ujarnya lagi.
Pelaksanaan Kajian Pengesanan Graduan di Anjung Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) KPT ini telah dilengkapkan oleh graduan bermula pada bulan Oktober 2024 hingga Februari 2025 yang menjalani Konvokesyen pada tahun 2024.
Melalui kajian ini, pihak Kerajaan dan Kementerian dapat merangka pelbagai inisiatif strategik bagi menggubal dasar yang sejajar dengan matlamat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi).
Sumber: Pusat Alumni dan Kerjaya