NILAI, 12 Januari 2018 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Islamic Relief Malaysia (IRM) akan bekerjsama dengan lebih erat di masa hadapan untuk program berbentuk kemanusiaan dan kesukarelawanan. Komitmen itu dizahirkan kedua-dua belah pihak semasa kunjungan hormat Ketua Pegawai Eksekutif IRM, Encik Zairulshahfuddin Zainal Abidin kepada Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Dr. Musa Ahmad pada petang Khamis di Canselori USIM.
Pertemuan mesra ini yang berlangsung selama satu jam setengah ini menjadi platform membincangkan hala tuju dan ruang kerjasama baharu yang dapat diterokai oleh USIM bersama IRM. USIM telah mendapat kerjasama baik dengan IRM sebelum ini untuk menjayakan Program Gap Year USIM.
Melalui kerjasama ini, kumpulan perintis seramai enam orang pelajar USIM yang menangguhkan pengajian mereka selama setahun bermula September tahun lalu telah ditempatkan di IRM untuk terlibat dengan aktiviti kesukarelawanan sepenuh masa.
“Pada Disember lalu, saya berkesempatan melawat para pelajar Gap Year USIM yang bekerjasama dengan sukarelawan IRM melaksanakan program khidmat bakti di kawasan pedalaman Beluran, Sabah. Respon mereka amat positif dan gembira melakukan program kemanusiaan yang diaturkan oleh IRM. Justeru, kerjasama USIM dan IRM untuk Gap Year ini akan kita teruskan lagi untuk kumpulan pelajar seterusnya”.
“Kerjasama kita bersama untuk realisasikan Gap Year telah berjaya dan kita ingin melihat ruang kerjasama lain juga yang dapat memanfaatkan kepakaran dan kelebihan yang dimiliki masing-masing untuk menjayakan pelbagai agenda ummah dalam pelbagai aktiviti” ujar Naib Canselor USIM dalam pertemuan tersebut.
“USIM membuka tangan seluasnya untuk menjadi rakan kerjasama IRM untuk menganjurkan program yang bersesuaian samada projek-projek kemanusiaan sedia ada di bawah IRM atau berkolaborasi untuk projek baharu. Kita mempunyai program kemanusiaan tersendiri juga iaitu Global Islamic Student Outreach (GISO), justeru kita ingin melibatkan IRM atas pengalaman luas dalam aktiviti kemanusiaan di seluruh dunia untuk memantapkan lagi pelaksanaan GISO ini” tambah Musa.
Sementara itu, Zairulshahfuddin dalam pertemuan ini turut berkongsi IRM mempunyai perancangan untuk membawa siswa USIM untuk menyertai misi-misi kemanusiaan IRM di 45 buah negara di masa hadapan. Ia akan memberi pendedahan yang amat berguna kepada mereka kelak kerana akan belajar perkara baharu dan membina kepimpinan.
“Mereka secara tidak langsung menjadi Duta USIM apabila diluar negara nanti. Pelajar semasa Gap Year USIM, insyaAllah pada tahun ini mereka akan kita bawa ke Bangladesh dan Indonesia untuk membantu projek kemanusiaan yang kita laksanakan di sana. Baru-baru ini kita libatkan dan bimbing mereka untuk memberi penerangan mengenai projek-projek kemanusiaan IRM di AEON Melaka disamping mengumpul sumbangan kewangan dari pengunjung di sana”
Pada pertemuan ini juga, kedua-dua belah pihak bersetuju untuk satu majlis khas akan diadakan dalam masa terdekat untuk menandatangani memorandum perjanjian (MoA) antara USIM dan IRM.
Disediakan oleh:
Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204