NILAI, 24 Jun 2022 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Pusat Pelancongan Islam (ITC) bagi membangunkan bakat, memperluaskan pengetahuan dan maklumat berkaitan bidang pelancongan dalam lanskap pelancongan Islam di Malaysia.

Menambah kemeriahan, majlis menandatangani MoU ini mengambil tempat semasa pelancaran Minggu Pelancongan Islam yang julung kali dianjurkan oleh ITC bertempat di Hotel Zenith, Putrajaya hari ini.

Dalam MoU ini, USIM diwakili oleh Profesor Ts. Dr. Sharifudin Md. Shaarani, yang menjalankan fungsi Naib Canselor, manakala ITC diwakili oleh Dato’ Dr Mohmed Razip Haji Hasan, Ketua Pengarah Pusat Pelancongan Islam (ITC) sambil disaksikan oleh Dato Seri Hajah Nancy Shukri Menteri Pelancongan Seni dan Budaya .

Kedua-dua pihak bersetuju untuk berkongsi kepakaran dan pengetahuan untuk memajukan latihan berkaitan Pelancongan Islam, penyelidikan, pembangunan modul, pembangunan standard, membangunkan bahan publisiti mengenai pelancongan, penganjuran bersama mesyuarat, konvensyen dan seminar, serta bidang lain dalam sektor Pelancongan Islam.

Profesor Ts. Dr. Sharifudin Md. Shaarani berkata, konsep Pelancongan Islam dikenali dengan nama dan konotasi yang berbeza dalam teori dan amalan pelancongan. Pelancongan Halal, Pelancongan Syariah dan pelancongan mesra Muslim adalah istilah yang biasa digunakan.

“Di USIM, kami menawarkan program akademik khusus yang berkaitan dengan pelancongan Islam di mana struktur kurikulum dan kursus yang dirangka dalam program ini merangkumi elemen keseimbangan pengintegrasian ilmu Naqli dan Aqli. Penyampaian ilmu dan teori serta pemupukan kemahiran yang berkaitan dalam setiap kursus diharapkan dapat membentuk bakat masa hadapan yang berkemahiran dalam bidang pengurusan dan pelancongan”,ujarnya lagi.

Di bawah MOU ini juga, kedua-dua pihak akan bersama-sama membangunkan dan melaksanakan program akademik dalam mod Pengajian 3u1i (tiga tahun di universiti, satu tahun di industri) dalam bidang pengurusan dan pentadbiran Pelancongan Islam serta bidang lain yang berkaitan. “Mod Pengajian 3u1i” ialah program untuk mempersiapkan graduan dengan pengalaman teori dan praktikal yang diperlukan sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

Berdasarkan MasterCard-CrescentRating Global Muslim Travel Index (GMTI) 2022, Malaysia menduduki tempat pertama dalam senarai destinasi percutian mesra Muslim terbaik mengatasi Indonesia dan Saudi Arabia.

 

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan