NILAI, 8 Jun 2018 – Sempena Hari Raya Aidilfitri yang dijangka disambut pada Jumaat ini, warga kota khususnya kakitangan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan mahasiswanya telah mula mengatur perjalanan pulang ke kampung halaman. Keadaan ini pastinya menyumbang secara tidak langsung kepada pertambahan trafik dan kenderaan di atas jalan raya.

Statistik kemalangan jalan raya yang membimbangkan terutamanya peningkatan yang mendadak pada musim perayaan pastinya meresahkan dan menyedihkan kerana ia juga melibatkan kehilangan nyawa insan tersayang. Justeru itu, bagi memberi kesedaran dan nasihat kepada mereka yang menggunakan pelbagai medium pengangkutan untuk pulang berhari raya, USIM bersama Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Negeri Sembilan melancarkan kempen khusus keselamatan di jalan raya kepada warga kampus.

Kempen Keselamatan bersempena Perayaan Hari Raya Aidilfitri ini telah dilancarkan secara bersama oleh Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Dr. Musa Ahmad dan Pengarah JKJR Negeri Sembilan, Puan Zaiton Ipah pada Jumaat lalu. Pelancarannya diadakan bertempat di lobi Canselori USIM dengan diurusetiakan Jabatan Keselamatan USIM.

Melibatkan kira-kira 200 warga universiti yang menggunakan pelbagai jenis kenderaan, program kempen ini dimulakan dengan bacaan ikrar keselamatan jalan raya oleh warga kampus yang diketuai oleh Muhammad Faris Abd Gani, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar USIM diikuti dengan doa keselamatan dan kesejahteraan semasa pulang ke kampung halaman.

Pelancaran kempen ini disempurnakan dengan acara pelepasan konvoi motorsikal berkuasa tinggi yang terdiri daripada kakitangan USIM, konvoi motorsikal oleh para pelajar dan seterusnya mereka yang memandu kenderaan. Naib Canselor bersama Pengarah JKJR Negeri Sembilan turut mengambil peluang menitipkan nasihat memandu berhati-hati kepada setiap pemandu disamping turut mengagihkan sumbangan berbuka puasa dan Hari Raya Raya.

Penganjuran kempen sebegini merupakan kempen keselamatan jalan raya yang berkala dianjurkan oleh USIM kepada warganya. Bagi mempelbagaikan input kempen, Jabatan Keselamatan USIM akan bekerjasama dengan pelbagai agensi strategik dan agensi penguatkuasaan untuk menganjurkan kempen ini secara bersama pada setiap tahun.

Naib Canselor melahirkan rasa gembira dengan inisiatif penganjuran kempen ini kerana ia secara langsung turut membantu usaha Kerajaan untuk mengurangkan kadar kemalangan semasa musim perayaan. Beliau turut menasihatkan agar kenderaan yang digunakan telah diservis dan diperiksa dengan baik dan memastikan memandu dalam keadaan fizikal yang sihat, segar dan bertenaga terutamanya untuk perjalanan yang jauh.

Pelepasan konvoi kakitangan USIM pulang ke kampung yang bermula tepat jam 4.30 petang ini berakhir kira-kira sejam kemudian. Turut hadir memberi sokongan dan menjayakan kempen ini adalah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato’ Dr. Zulkiple Abd Ghani; Pendaftar, Encik Muhammad Haizuan Rozali; Pengarah Pusat Komunikasi Strategik, Profesor Dr. Mohd Yahya Mohamed Arifin; dan Pengarah Jabatan Keselamatan, Kapt (B) Abdul Wahab Md Zin.

 

Disediakan oleh:
Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/78620/78629 Faks : 06-798 8032