NILAI, 10 Januari 2021 -Ketika Negara dilanda banjir di beberapa buah negeri, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dikejutkan dengan berita kematian Allahyarham Ikmal Hakimi Mahasan Pelajar Tahun 2 Fakulti Pengajian Bahasa Utama, 21, yang ditemui lemas selepas kenderaan yang dinaikinya terjatuh ke dalam parit sebelum dihanyutkan arus deras di Sungai Kampong Bentong, Kluang Johor pada 4 Januari lalu.

Menteri Pengajian Tinggi, Yang Berhomat Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad turun padang menziarahi ahli keluarga Allahyarham bersama wakil Pengurusan Universiti Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni, Prof Madya Dr Mohd Rushdan Mohd Jailani dan Timbalan Naib Canselor Penyelidikan & Inovasi, Prof Dr Mohammad Hamiruce Marhabban.

Dalam kunjungan ziarah ini, turut diadakan majlis tahlil ringkas yang dipimpin bacaan doa oleh Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) saudara Muhammad Hannan Mohd Haniff. Sumbangan dari pihak USIM dan KPT turut diserahkan kepada keluarga Allahyarham, dan diharapkan dapat memberi semangat dan melancarkan urusan keluarganya selepas ini.

Jenazah Ikmal selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Haji Manan.

Bapa arwah, Encik Mahasan Mohd. Daud, 50, berkata, pada Ahad lalu mereka sekeluarga kecuali Ikmal pulang ke kampung di Kelantan.

“Sepanjang perjalanan itu, hati saya rasa sayu sebab tak dapat bawa dia bersama kami untuk merasai pengalaman menaiki kereta api Bukit Korek di Kelantan. Ikmal atau nama panggilan Kim tidak mahu ikut kami kerana dia ada kelas online.

“Kali terakhir saya bercakap dengannya iaitu sehari sebelum kami pergi ke Kelantan. Saya beri­tahu dia kalau hendak ke mana-mana, mesti maklumkan kepada saya dan ibunya walaupun nak ke kedai berdekatan rumah,” katanya lagi.

Mahasan berkata, anaknya itu disifatkan sebagai seorang anak yang bercita-cita besar untuk menjadi seorang diplomat di luar negara.

Kejadian pada Ahad lalu itu berlaku, apabila Ikmal dikatakan keluar dari rumahnya di Taman Suria di sini pukul 6 petang untuk ke rumah rakan seuniversiti di Kampung Bentong. Selepas mengetahui jalan ke Kampung Bentong dinaiki air, mangsa menggunakan laluan alternatif di Kampung Melayu Nyior di sini. Bagaimanapun, ketika cuba meredah banjir, kereta dipandu mangsa terjatuh ke dalam parit sebelum dihanyutkan arus deras.

Sumber: Kosmo Online

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan