PETALING JAYA, 6 Mac 2023 – Delegasi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang diketuai oleh Naib Canselor Profesor Dato’ Dr. Sharifudin Md Shaarani mengadakan kunjungan balas ke pejabat Nestle Malaysia di Petaling Jaya disambut oleh Dato’ Adnan Pawanteh, Pengarah Eksekutif Hal Ehwal Korporat Kumpulan Nestle Malaysia baru-baru ini.

Turut hadir bersama, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan & Inovasi USIM, Dr. Norlida Basir, Dr. Nur Zazarina Ramly Ketua Program serta empat orang pensyarah Bioteknologi Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi.

Satu sesi perkongsian khas oleh pihak Nestle berkaitan pengurusan Halal, nutrisi pemakanan dan pengenalan Harvest Gourmet iaitu produk makanan berasaskan tumbuhan yang telah dilancarkan pada tahun 2021.

Lebih menarik lagi, delegasi USIM juga diberi peluang untuk merasa nugget dan daging burger berasaskan tumbuhan seperti kacang soya daripada produk Harvest Gourmet.

Naib Canselor Profesor Dato’ Dr. Sharifudin Md Shaarani berkata, kerjasama USIM bersama pihak industri amat bertepatan dalam memperkasakan keterlihatan (visibility) USIM di bawah payung “USIM Cemerlang, USIM Disayang”. Pihak universiti mengalu-alukan kolaborasi dalam usaha untuk menyemarakkan pemindahan ilmu antara kedua belah pihak.

Ujarnya lagi, sebelum ini USIM dan Nestle telah bekerjasama melalui Memorandum Perjanjian (MoA) yang dimeterai pada 22 Ogos 2022 dalam memberikan pendidikan Halal ke sekolah-sekolah atau dikenali sebagai Program Halal@School with Nestle.

“USIM juga merancang untuk mengadakan Karnival Mega Fatwa dan Halal yang akan diterajui di bawah Institut Fatwa dan Halal (IFFAH pada bulan Julai 2023 dengan pelbagai pengisian menarik antaranya penawaran kursus Halal Eksekutif dan Mega Halal School dengan kerjasama Nestle”.

USIM berharap kerjasama ini akan terus diperkembangkan bukan sahaja dalam bidang Halal malah bidang lain juga.

 

Disediakan oleh:
Muhammad Amirul Afif Misran
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan