NILAI, 3 Mac 2021 – Dalam suasana Perintah Kawalan Bersyarat ini tidak menghalang  kerjasama antara Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bersama Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dalam satu majlis yang diadakan secara dalam talian iaitu Majlis Pelancaran Buku bertajuk Kepemimpinan Komuniti terbitan USIM dibawah Fakulti Kepimpinan & Pengurusan (FKP) dan UPNM.

Majlis ini merupakan strategi dalam menyebarluaskan maklumat buku kepemimpinan yang mempunyai elemen dakwah dan pertahanan untuk kegunaan komuniti setempat, selain mengukuhkan kerjasama strategik antara kedua belah pihak.

Mengimbau kembali Memorandum Perjanjian yang ditandatangani antara USIM dan UPNM pada tahun 2018, keduanya mencapai kesepakatan untuk mengkhusus kepada kerjasama penerbitan buku dan pembentangan kertas kerja dalam seminar tahunan anjuran bersama. Buku Kepemimpinan Komuniti ini merupakan hasil penulisan kedua selepas penerbitan buku Kepemimpinan Era Moden yang diterbitkan pada tahun 2019.

Prof Dato Dr Mohamed Ridza Wahiddin Naib Canselor USIM dalam ucapannya berkata, ini merupakan sesuatu yang cukup positif dalam usaha kedua-dua Universiti dalam memaknakan erti kepemimpinan dalam pelbagai tema dan aspek yang seterusnya dapat diraih oleh pembaca buku-buku ini, yang tentunya bukan sahaja ahli akademik, bahkan dalam kalangan masyarakat pelbagai lapisan.

Beliau berkata lagi, melalui buku Kepemimpinan Komuniti ini, pelbagai isu berkaitan kepemimpinan yang meliputi pelbagai aspek kehidupan termasuk kepemimpinan melalui teladan telah dibahas dan digarap dengan baik oleh para penulis. Diharapkan dengan penghasilan buku ini yang merupakan himpunan artikel daripada kertas kerja terpilih dari USIM dan UPNM dapat membantu dalam melahirkan lebih ramai pemimpin yang mampu menjadi qudwah hasanah buat umat manusia dalam era kemodenan ini.

Manakala menurut Dekan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Prof Madya Dr. Mohd Faizal Kasmani, beliau berharap agar usaha dan kerjasama ini dapat diteruskan melalui MoA dan aktiviti kerjasama dapat diperluaskan lagi, seperti program profesor pelawat (visiting lecturer) dan program pertukaran pelajar.

”Saya mengesyorkan penulisan ini dapat penglibatan dari pelbagai ahli akademik dengan pelbagai latar belakang supaya kepelbagaian kepemimpinan itu terlihat dan seterusnya boleh dimanfaat oleh masyarakat,” ujarnya.

Buku ini merupakan himpunan 10 artikel yang membincangkan  isu dan cabaran yang meliputi pelbagai aspek dalam kepimpinan. Kepimpinan komuniti merangkumi sejarah kepimpinan sebagai teladan dengan ciri-ciri kepemimpinan keperibadian teragung dan membentuk perhubungan serta mengukuhkan perpaduan dalam masyarakat.

Buku ini boleh didapati di bahagian penerbit USIM atau layari laman web penerbit usim press iaitu http://penerbit.usim.edu.my/pemasaran/

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan