BANTEN, 29 Mac 2019 –  Susulan gempa bumi  yang melanda kawasan Selat Sunda pada 22 Disember 2018 lalu dengan skala 5 magnitud menyebabkan kematian dan kerosakan di beberapa daerah yang terlibat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah terpanggil untuk mengadakan misi bantuan pasca tsunami Banten dengan membina telaga air bersih kepada enam buah kampung untuk kegunaan masyarakat di sana.

Delegasi yang diketuai oleh Prof Dato Dr Musa Ahmad, Naib Canselor USIM bersama 14 pengurusan USIM turut melibatkan yang lain antaranya doktor perubatan dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, pensyarah  pakar aqidah  serta sukarelawan.

Antara bantuan yang dihulurkan USIM adalah bagi menggerakkan projek pembinaan sumber air bersih, perawatan trauma dan kebersihan gigi bagi kanak-kanak, serta ceramah pemantapan aqidah dan  malapetaka dalam perspektif Islam. Projek kemanusiaan ini merupakan libatsama oleh Pusat Libatsama Komuniti dan Jaringan Industri USIM (PLiMJI), USIM dengan kerjasama Universitas Mathla’ul Anwar (UNMA) dan Mathla’ul Anwar Care.

Menurut Prof Dato Dr Musa Ahmad, Naib Canselor USIM, sebagai rakan strategik bersama UNMA, misi kemanusiaan ini dilihat sebagai kerjasama erat antara dua negara. Sebagai  permulaannya USIM bantu dari segi penyediaan air bersih bagi penduduk kampung yang terlibat, dan selepas ini akan ada lebih kerjasama sinergi dalam bidang pendidikan dan peluang yang diberi kepada USIM diharap dapat memberi manfaat kepada masyarakat bukan sahaja di Malaysia tapi juga di peringkat antarabangsa.

”USIM turut membawa kumpulan kepakaran dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) dan Fakutli Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) untuk bersama turun padang santuni masyarakat dengan memberi khidmat rawatan kesihatan, khidmat kaunseling dan akidah”.

”Selepas ini USIM juga merancang untuk santuni warga UNMA dari aspek yang lain mengikut keperluan  mereka untuk pasca tsunami”, tambah Dato Musa lagi.

”Mudah-mudahan bantuan ini menunjukkan adanya kerjasama erat antara masyarakat di sini dan USIM dan diharap ia tidak akan putus sampai di sini, malah akan ada kerjsama dalam bidang-bidang yang lain. Bantuan ini diharap dapat dimanfaatkan, dijaga  dengan baik dan digunakan untuk melakukan ibadah kepada Allah.”, ucap Prof Dr Abdul Ghani Abdullah, Rektor UNMA.

Manakala Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar, selaku Pengarah PLiMJI melahirkan rasa syukur kerana dapat mengurusetiakan program kesukarelawanan pertama USIM di luar negara dengan jaya.

”Saya juga gembira misi bantuan bencana pasca tsunami Banten ini menjadi  batu asas ke arah pembentukan satu pasukan Libatsama Masyarakat Nusantara yang terdiri daripada kakitangan pentadbiran, pensyarah dan pelajar yang mempunyai kepakaran, berkemahiran tinggi, komprehensif dan mampu mengintegrasikan ilmu naqli dan aqli dengan cemerlang”, tambah Dr Rafidah.

Sebagai langkah awal, USIM telah menghantar wakil pada 27 Februari lalu untuk melihat keadaan semasa dan keperluan yang sangat diperlukan oleh penduduk sekitarnya. USIM juga telah melancarkan Tabung Bantuan Tsunami Banten  dan digerakkan semasa Majlis Perhimpunan Kakitangan USIM, serta Pusat Kebudayaan USIM juga telah mengadakan program Street Dakwah bersama UNMA untuk mengumpul dana bagi tujuan bantuan ini.

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/78629/78620 Faks : 06-798 8032