Nilai, 17 Jan 2019- Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) kini menjadi pusat rujukan serantau untuk sukan Lawn Bowls dan mendapat pengiktirafan Pusat Sukan Tumpuan (PST) Lawn Bowls oleh Unit Sukan, Bahagian Penyelidikan dan Penyelarasan Dasar, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sejak 2015 sehingga kini.

Pengiktirafan ini diberikan susulan dengan kejayaan USIM dalam sukan lawn bowls melalui beberapa siri kejohanan yang telah disertai oleh pelajar USIM sejak 2008. Selain itu, pengikitirafan ini diberikan kerana USIM mempunyai pengalaman dan jurulatih pakar dalam bidang lawn bowls.

Menurut Mazilan Rambli, Pegawai Belia dan Sukan Kanan di USIM, dengan pengiktirafan ini, USIM menjadi pusat rujukan kepada sekolah-sekolah, Institusi Pengajian Tinggi dan juga agensi kebangsaan untuk mendapatkan khidmat nasihat tentang lawn bowls.

“Pusat Sukan, USIM telah menerima suntikan dana sebanyak RM 100,000.00 setiap tahun yang mana akan digunakan untuk menguruskan beberapa program seperti pembangunan sukan lawn bowls, latihan atlet Lawn Bowls IPT Malaysia, kursus kejurulatihan, kursus kepengadilan dan penyertaan kejohanan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya lagi.

Bagi memperkasakan pengiktirafan ini, USIM pernah menganjurkan kejohanan Lawn Bowls Open Pairs KPM-USIM dengan kerjasama KPM dan USIM yang telah disertai oleh pelbagai peringkat seperti peringkat sekolah, Institusi Pengajian Tinggi dan negeri.

Mazilan yang juga merupakan Ketua Jurulatih Lawn Bowls IPT Malaysia yang mempunyai kelayakan kejurulatihan lawn bowls Tahap 3 berkata dengan adanya pengiktirafan ini, ia akan membantu sukan lawn bowls untuk lebih menyerlah di peringkat IPT, kebangsaan dan antarabangsa dalam melahirkan “The Thinking Athletes” dan menyumbang kepada penyaluran atlet kebangsaan.

Selain itu, Kompleks Sukan Tunku Najihah (KSTN), USIM turut menawarkan kemudahan gelanggang, padang dan sukan kepada warga USIM dan masyarakat sekitar untuk menjalankan aktiviti sukan, perlawanan dan kecergasan seperti padang bola sepak, padang hoki/ serbaguna, gelanggang tenis permainan, gelanggang tenis latihan, gelanggang sepak takraw, gelanggang bola keranjang, gelanggang bola baling/ futsal luar, gelanggang bola jaring, gelanggang bola tampar, stesen out door gym, folish dengan kemudahan tandas dan bilik persalinan.

Disediakan oleh:
Dr. Fauziah Hassan
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)