NILAI, 1 November 2017 – Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Institut Wasatiyyah Malaysia telah menganjurkan IC-DAIM 2017 yang berlangsung bermula 31 Oktober hingga 1 November 2017. Ia merupakan kesinambungan bagi siri konferens yang telah dijalankan setiap dua tahun sejak tahun 2010.

Melalui tema tahun ini iaitu “Wadah Kepimpinan Wasatiyyah”, konferens ini mensasarkan penyertaan yang lebih luas dari kalangan sarjana, penyelidik, penggubal polisi, para eksekutif, aktivis da’wah, para pelajar, serta semua yang berminat untuk bersama-sama terlibat dan berhubung melalui konferens ini.

IC-DAIM 2017 kali ini dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri iaitu YB Mejar Jeneral (B) Dato’ Seri Jamil Khir bin Baharom dan juga menampilkan Tan Sri Dato’ Seri Abdullah Md Zin dalam sesi plenari. Turut membentangkan dalam sesi plenari ialah PM Dr Mohd Afandi Mat Rani, Timbalan Pengarah 1 Institut Wasatiyyah Malaysia.

”Konferens seperti ini diharapkan dapat meletakkan neraca yang baik dalam pemikiran pendakwah dan pemimpin pada masa kontemporari. Di samping itu, ia diharap dapat menggabungkan kepakaran teori dan praktikal dari para akademik dan pentadbir yang terlibat dalam organisasi dan intitusi da’wah dan kepimpinan. Malah, tema ’wasatiyyah’ sangat relevan untuk mengajak masyarakat setempat terlibat dalam konferens ini,” Dr. Kalsom binti Ali, Pengarah IC-DAIM 2017.

“Adalah diharapkan agar melalui Konferens IC-DAIM 2017 ini, para akademik dapat meluaskan pandangan melalui perkongsian hasil kajian penyelidikan. Manakala para pentadbir dapat diketengahkan dengan cara-cara mengelola institusi dan organisasi masing-masing dengan lebih seimbang iaitu dengan mengambil kira pelbagai dimensi kemanusiaan. Semoga konferens ini memberi platfom kepada para pemikir untuk merancang secara realistik, manakala para aktivis dapat terdedah dengan buah fikiran yang kaya dan mendalam sebagai suatu bentuk kayu ukur yang dapat dijadikan semakan untuk penambah baikan dalam pentadbiran,” tambahnya.

Konferens ini merupakan suatu platform intelektual yang mengumpul sarjana dari dalam dan luar negara, para penyelidik, ahli profesional, para eksekutif dan pengamal da’wah, kepimpinan dan pengurusan. Sidang pembentangan kertas kerja terdiri daripada pembentang-pembentang dari dalam dan luar negara. Majlis penutup disempurnakan oleh Dato’ Mohd Yusof bin Din, Pengarah Institut Wasatiyyah Malaysia, Jabatan Perdana Menteri.

Disediakan oleh :
Syazlyna Jamil
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8142/8027/6284 Faks : 06-798 8204