CARDIFF, 14 Mei 2023 – Dalam usaha memberi inspirasi untuk mempromosikan pendidikan inklusif dan memperkasakan orang kurang upaya (OKU), Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia, menerusi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang diterajui Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB), telah menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Eureka Robotics Centre Cardiff Metropolitan University (CMU), UK.

Kerjasama ini memberi tumpuan kepada memanfaatkan teknologi robotik dan pendidikan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) untuk meningkatkan peluang pembelajaran terutamanya bagi orang kurang upaya.

Datuk Seri Abdul Razak Jaafar, Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), menyatakan jalinan kerjasama ini dimeterai sebagai usaha menyahut seruan Menteri Pendidikan Tinggi untuk menjadikan Malaysia sebagai pengantarabangsaan pusat pengajian pendidikan tinggi tanahair serta hab pembangunan bakat.

“Perjanjian kerjasama antara USIM dan CMU menandakan satu peristiwa penting dalam usaha memartabat pendidikan inklusif. Kedua-dua institusi bergabung tenaga, menerusi kerjasama latihan dan penyelidikan, serta pertukaran kepakaran antara kedua-dua institusi, dalam penggunaan teknologi robotik dan pendidikan STEM bagi memperkasakan individu kurang upaya dan menyediakan mereka akses yang sama kepada pendidikan berkualiti,” jelas beliau selepas majlis menandatangani Memorandum Perjanjian di CMU, UK.

Turut hadir, Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani mengulas, sebagai institusi pendidikan tinggi awam yang berteraskan Sains Islam, USIM sentiasa mencari ruang bagi memupuk minat masyarakat dalam sains dan teknologi, terutamanya di kalangan orang kurang upaya dan kurang berkemampuan.

“USIM yang terletak di Nilai, Negeri Sembilan, sentiasa prihatin dengan masyarakat sekitar, terutamanya golongan OKU dan kurang berkemampuan, yang memiliki akses terhad terhadap teknologi terkini. Perkongsian dengan CMU ini merupakan langkah penting ke arah menyemarakkan pendidikan STEM menerusi teknologi terkini robotik, bagi menggalakkan keterangkuman dan memperkasakan orang kurang upaya.”

“Salah satu tunjang utama kerjasama ini ialah penyepaduan robotik dan pendidikan STEM dalam menangani keperluan pendidikan individu kurang upaya. USIM dan CMU akan bekerjasama untuk membangunkan program dan inisiatif inovatif yang menggunakan konsep robotik dan STEM untuk meningkatkan pengalaman pembelajaran bagi pelajar kurang upaya.” ujarnya lagi.

Perjanjian kerjasama antara USIM dan CMU menandakan komitmen yang luar biasa terhadap keterangkuman, pemerkasaan pendidikan dan kemajuan teknologi. Dengan menggabungkan kepakaran dan sumber mereka, kedua-dua institusi bersedia untuk mengorak langkah penting dalam menyediakan pendidikan berkualiti dan peluang untuk orang kurang upaya dan kurang berkemampuan melalui penyepaduan pendidikan STEM dan teknologi robotik.

 

Disediakan oleh:
Nor Fadzlina Azahari
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan

2023-05-16T17:02:49+08:00

Share This Story, Choose Your Platform!

Go to Top