KUALA LUMPUR, 19 Jun 2020 – USIM merancakkan lagi aktiviti wakaf tunai dengan memeterai memorandum perjanjian bersama Bank Rakyat yang berlangsung di Menara Kembar Bank Rakyat Kuala Lumpur baru-baru ini. Ini merupakan kerjasama strategik yang pertama kali antara Universiti Awam dan agensi Bank bagi projek wakaf ini.
Dalam perjanjian ini USIM diwakili oleh Prof. Dr. Mohamed Ridza Wahiddin Naib Canselor USIM manakala Bank Rakyat diwakili oleh Datuk Rosman Mohamed Pegawai Eksekutif Bank Rakyat.
USIM yang diterajui oleh Pusat Wakaf dan Zakat (PWZ) mengambil inisiatif menerajui Projek Dana Wakaf Tunai sebagai satu kaedah sumbangan yang relevan masa ini.
Prof. Madya. Dr. Mushaddad Hasbullah, Pengarah Pusat Wakaf dan Zakat USIM berkata, sebagai institusi pengajian tinggi yang menerajui Integrasi ilmu Naqli dan Aqli, USIM percaya kepada konsep Wakaf sebagai pembiayaan mampan bagi universiti, di mana telah diwujudkan beberapa inisiatif untuk menggerakkan wakaf sebagai agenda utama universiti. Ini termasuk pembangunan program wakaf tapak dan program wakaf pendidikan.
Beliau menambah lagi, pada Julai 2013 USIM telah dlantik sebagai mutawalli Dana wakaf oleh Majlis Agama Islam Negeri (MAINS). Berdasarkan pelantikan sebagai Mutawalli tersebut, USIM boleh membangun dan menguruskan dana wakaf serta mengagihkan manfaat kepada golongan sasaran yang dihasratkan wakif.
“Melalui kerjasama projek ini, saya percaya ia mampu memberi keyakinan dan kepercayaan kepada pewakaf individu atau institusi sama ada dari kalangan warga USIM juga pihak luar”, jelas beliau lagi.
Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan