NILAI, 27 Oktober 2020 – Susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilanjutkan sehingga 10 November bagi zon Nilai, dan 9 November 2020 bagi seluruh Negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengambil pendekatan dengan membenarkan staf untuk bertugas secara Bekerja Dari Rumah atau yang diarahkan untuk hadir bekerja di pejabat atau lokasi lain yang ditentukan sama ada secara penggiliran atau penjadualan dengan mengikut SOP yang telah ditetapkan. Ini berikutan kedua-dua kampus USIM berada dalam kawasan PKPB yang telah diumumkan oleh YB Datuk Seri Ismail Sabri bin Yaakob, Menteri Kanan Pertahanan pada 26 Oktober lalu.
Sebanyak 11 Pusat Tanggungjawab yang telah dikenalpasti iaitu Jabatan Keselamatan, Pusat Kesihatan Universiti, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti, Pusat Perumahan Pelajar, Pusat Pembangunan Sistem dan Kejuruteraan, Jabatan Pendaftar, Jabatan Bendahari, Pusat Komunikasi Strategik dan Unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Jabatan Canselori.
Menurut Naib Canselor Prof Dr Mohamed Ridza Wahiddin, semua staf Pusat Tanggungjawab Kritikal hendaklah digilirkan/dijadualkan untuk bertugas di pejabat atau lokasi lain yang ditentukan oleh Ketua Pusat Tanggungjawab masing-masing. Sekiranya berkeperluan, staf yang bukan daripada Pusat Tanggungjawab Kritikal boleh diarahkan bertugas di pejabat atau lokasi lain yang ditentukan oleh Ketua Pusat Tanggungjawab masing- masing tetapi hendaklah tidak melebihi 30% pada satu-satu masa.
Beliau menambah lagi, staf disarankan untuk menyempurnakan saringan kendiri secara dalam talian melalui Sistem Saringan Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia di Portal iStaff dan mengemaskinikannya setiap hari Ahad dan Rabu melalui Portal iStaff untuk rujukan dan pemantauan Ketua Pusat Tanggungjawab dan Pusat Kesihatan Universiti.
“Menunjukkan pas pekerja atau Surat Pengesahan Keperluan Merentas Negeri Untuk Bertugas di Pejabat yang boleh dimohon melalui Portal iStaff sekiranya perlu merentas kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat. Meneruskan langkah-langkah pencegahan COVID-19 sebagaimana yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia terutamanya pengamalan kebersihan diri, penjarakan fizikal, memakai pelitup separuh muka dan pemeriksaan suhu badan; dan menghindarkan diri daripada hadir dan berada dalam kawasan Kampus serta mendapatkan rawatan dengan segera di fasiliti kesihatan terdekat sekiranya mempunyai sebarang gejala jangkitan COVID-19 seperti yang dihebahkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia”.
Prof. Ridza berkata, bagi staf yang menghadapi kesukaran menguruskan anak kerana penutupan sekolah atau kekangan ruang pusat jagaan harian atau mempunyai anak yang tidak sihat dan tidak dibenarkan berada di pusat jagaan kerana mempunyai simptom seperti demam, batuk dan selesema atau penggiliran/penjadualan waktu sekolah anak tertakluk kepada surat arahan pihak sekolah atau Kementerian Pendidikan Malaysia boleh dipertimbangkan atas budi bicara Ketua Pusat Tanggungjawab untuk Bekerja Dari Rumah atau secara penggiliran atau penjadualan.
Garis Panduan Pengoperasian Pejabat Dalam Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan Universiti Sains Islam Malaysia bertarikh 11 September 2020 hendaklah terus terpakai dan disesuaikan dengan isi kandungan Notis ini sehingga ke satu tarikh yang akan ditentukan dan dibaca bersama dengan prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara tentang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat di Zon Nilai, Negeri Sembilan sehingga tamat perintah tersebut.
Bilik Gerakan COVID-19 USIM juga beroperasi 24 jam bagi menyelaras maklumat dan tindakan pencegahan dalam membendung penularan wabak COVID-19. Untuk pertanyaan lanjut berkaitan COVID-19, boleh hubungi Bilik Gerakan COVID-19 USIM Pusat Kesihatan Universiti USIM di talian 06-7986121 atau mana – mana Klinik Kesihatan Kerajaan yang berdekatan.
Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan