NILAI, 15 SEPT 2015 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) memainkan peranan sebagai sebuah IPTA yang menjalankan tanggungjawab sosial kepada masyarakat berkenaan pencegahan dan pemulihan dalam penyalahgunaan dadah menerusi pusat kecemerlangannya (COE) iaitu Pusat Penyelidikan Dalam Penyalahgunaan Dadah Asia (ACREDA).

Pihak ACREDA telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan Projek ‘Empowering Youth for Drug-Free Community’ (EYDFC 2015)pada tahun ini sebagai usaha pencegahan penyalahgunaan dadah yang berstrategik dan holistik. Program menarik ini akan berlangsung selama 7 hari bermula 14 sehingga 20 September 2015 bertempat di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan di sekitar kawasan Lembah Klang.

Majlis perasmian program ini akan disempurnakan oleh Yang Berbahagia Profesor Dato’ Dr Omar Osman, Naib Canselor Universiti Sains Malayasia (USM) merangkap President APUCEN pada 15 September 2015 bertempat di Hotel Nilai Spring Resort. Projek EYDFC 2015 ini dijayakan dengan kerjasama Asia Pacific Universities on Community Engagement Network (APUCEN), Universiti Sains Malaysia (USM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Persatuan Pengasih Malaysia (PENGASIH), Yayasan Salam Malaysia (SALAM), dan Community Excell Services (CES).Objektif utama penganjuran EYDFC 2015 ini adalah untuk menyebar luas maklumat dan meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat khususnya golongan remaja mengenai peranan mereka untuk turut terlibat dalam segala usaha pencegahan penyalahgunaan dadah. Seramai 50 orang peserta telah menyertai program ini dan mereka akan mendapat maklumat berkenaan perancangan dan pelaksanaan beberapa program pencegahan yang merangkumi aspek pencegahan dadah awalan, pencegahan sekunder dan pencegahan lanjutan. Seterusnya peserta turut didedahkan dengan asas rawatan dan pemulihan ketagihan dadah berdasarkan pendekatan terapi psiko-spiritual Islam, selain memberi khidmat bakti dan sumbangan kepada pusat-pusat rawatan dan pemulihan yang di dilawati.

Penganjuran EYDFC 2015 ini menjadi sasaran utama dalam aktiviti kajian dan pembelajaran di Pusat Penyelidikan Dalam Penyalahgunaan Dadah Asia (ACREDA) kerana pencegahan dikalangan golongan muda adalah amat penting untuk membendung masalah dadah di negara ini. Kumpulan sasaran untuk menghadiri program ini adalah terdiri daripada pelajar – pelajar IPTA, agensi-agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO).

Program ini akan dijalankan dalam tiga bentuk. Pertama ialah pengajaran dan pembelajaran secara interaktif di dalam kelas di mana peserta akan diberi pendedahan dan berbincang tentang permasalahan dadah secara menyeluruh. Kedua mereka akan belajar secara hands-on  dimana peserta akan bertemu dengan golongan bermasalah atau mereka yang berpotensi untuk terlibat dalam najis dadah. Ketiga, mereka akan dilatih untuk bersama masyarakat dan menyampaikan tentang bahaya dadah.

Penganjuran ‘Empowering Youth for Drug-Free Community’ (EYDFC 2015) ini diharapkan dapat memberi pendedahan awal kepada golongan belia tentang langkah pencegahan, rawatan dan pemulihan penyalahgunaan dadah yang boleh dilaksanakan bagi menghadapi masalah yang kian meruncing di kalangan masyarakat.

Disediakan oleh:

Noorumaina Mohamed Yunus

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204