NILAI, 6 Mac – Pencapaian Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam pelbagai bidang terutamanya akademik dan pentadbirannya menarik minat kumpulan delegasi daripada Education Heritage Foundation dan Yayasan Darul Naeem, Songkhla Thailand untuk berkongsi pengalaman mengenai perjalanan penubuhan, pembangunan dan kejayaan yang ditempa Universiti ini.

Kunjungan hormat para delegasi seramai 15 orang yang diketuai YBhg. Haji Booya Leeled, Pengerusi Yayasan Darul Naeem merangkap ahli Education Heritage Foundation ke Canselori USIM disambut oleh YBhg. Profesor Dato’ Dr. Asma Ismail, Naib Canselor USIM bersama Pengurusan Universiti.

Melalui sesi kunjungan hormat ini, ahli delegasi melahirkan hasrat mereka untuk menubuhkan Asian International University of Scince and Technology (AIU). Universiti ini apabila ditubuhkan nanti akan menjadi pusat pendidikan yang menerapkan Pengajian Islam secara kondusif. Secara tidak langsung akan menyediakan peluang pengajian peringkat tinggi yang lebih luas kepada para pelajar di Selatan Thailand yang majoritinya masyarakat Islam.

Menurut kajian mereka, akibat peluang pengajian yang terhad, saban tahun memperlihatkan 75 hingga 80 peratus pelajar yang menamatkan pengajian di peringkat menengah tidak mendapat tempat ke Universiti. Jumlah yang besar ini pastinya menyumbang kepada peningkatan masalah pengangguran, penagihan dadah dan kegiatan ektremis yang akan merencatkan lagi pembangunan ekonomi dan taraf hidup masyarakat Islam Selatan Thailand.

Melalui perbincangan dua hala ini, USIM mencadangkan agar difokuskan terlebih dahulu untuk dibentuk sekumpulan tenaga pengajar berkelayakan sebelum pengambilan pelajar dibuat. “Bagi tujuan ini, pihak Yayasan perlu mengenalpasti para graduan dikalangan masyarakat setempat yang berpotensi dan layak untuk diberikan bantuan kewangan dalam bentuk biasiswa atau pinjaman supaya dapat mereka melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah”

“Apabila tamat pengajian dalam tempoh 2-3 tahun, para pelajar ini akan kembali sebagai tenaga pengajar sulung disamping dapat menguruskan pembangunan awal Universiti ini kelak. Justeru, USIM secara prinsip bersedia menawarkan peluang pengajian di peringkat prasiswazah dan pascasiswazah kepada pelajar yang memenuhi syarat kemasukan ke USIM untuk mencapai hasrat murni ini ” kata YBhg. Profesor Dato’ Dr. Asma Ismail.

Perbincangan yang berlangsung dalam suasana harmoni turut menghasilkan beberapa keputusan yang positif untuk manfaat kedua-dua belah pihak. USIM juga akan mengaturkan kunjungan balas ke Songkhla, Thailand untuk mempromosikan Universiti ini kepada masyarakat Islam di sana dalam sedikit masa lagi.

Disediakan oleh :

Mohd Zaini Othman
Penolong Pendaftar
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)