NILAI, 24 Ogos 2018 – Kemeriahan sambutan Hari Raya Aidiladha masih dirasai seluruh negara dengan pengisian ibadah korban. Mengambil keberkatan pada hari Jumaat meraikan dan menginsafi pengertian sebenar di sebalik ibadah korban, Pusat Islam Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menganjurkan Program Ibadah Korban dan Akikah 1439H pada hari ini di Kompleks Islam Tuanku Muhriz.

Sebanyak 7 ekor lembu korban dan 2 ekor kambing disembelih dalam majlis yang bermula kira-kira jam 8.00 pagi dan berakhir jam 11.00 pagi tadi. Pengarah Pusat Islam, Prof Madya Dr. Khairul Anuar Mohamad mengambil tanggungjawab menyembelih lembu ini dan seterusnya diikuti dengan aktiviti gotong-royong melapah dan memotong daging.

”Alhamdulillah, pada tahun ini kita dapat sambutan menggalakkan daripada staf USIM. Sebanyak 7 ekor lembu dan 2 ekor kambing disembelih dalam majlis yang bermula jam 8.00 pagi dan berakhir jam 12 tengah hari. Penyertaan ini telah dibuka kepada staf USIM sejak hujung tahun lepas dengan 1 bahagian RM680 dengan kaedah potongan gaji”.

”Tahun ini semua peserta korban sepakat untuk mendermakan agihan daging ini kepada fakir miskin, asnaf dan ibu-ibu tunggal di flat Semarak, Nilai, dan staf USIM, selebihnya daging-daging tersebut akan dimasak iaitu sebanyak 2 periuk sup dan 2 kawah gulai daging umbut pisang disediakan bagi menjamu para jemaah Solat Jumaat yang akan hadir nanti.

”Tahun ini merupakan kali pertama program Ibadah Korban USIM diadakan di Kompleks Islam Tunku Mukriz sejak ia siap dibina Jun tahun lepas dan pada tahun-tahun sebelum ini kita adakan di Pusat Komersil”, tambah Dr Khairul.

Program disertai seramai 50 sukarelawan yang terdiri daripada Pengurusan Universiti, anggota Jabatan Keselamatan, pelajar Tamhidi dan kakitangan Universiti yang membantu menjayakan program Ibadah kali ini.

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/78629/78620 Faks : 06-798 8032