NILAI, 29 Mac 2021 – Negeri Sembilan atau dikenali sebagai tanah beradat sememangnya kaya dengan adat. Selain terkenal dengan pengamalan adat perpatih oleh masyarakat Minangkabau, seni persembahan Cak Lempong dan Bongai juga menjadi jolokan popular di negeri ini, namun terdapat juga sastera tradisi yang semakin terpinggir dari kalangan masyarakat iaitu teromba. Teromba adalah genre sastera terawal yang wujud dan di dalamnya ada pantun, mantera, syair, seloka, gurindam, peribahasa, terasul, pepatah-petitih, bidalan, ungkapan, teka-teki dan sebagainya. Teromba lazimnya menceritakan segala perihal kehidupan masyarakat bermula dari sekecil-kecil perihal rakyat seperti kerja-kerja keraian, perkahwinan dan sebagainya sehingga sebesar-besar pentadbiran seperti institusi Diraja.

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menyambut baik hasrat untuk mendokumentasi teromba dalam bentuk buku sebagai usaha pemeliharaan dan kelestarian  seni tradisi teromba untuk mewariskan apa yang terbaik dan berharga dalam budaya kita kepada generasi masa depan. Mereliasasikan hasrat itu, pelancaran buku “Adab dalam Teromba: Unsur Islam Dalam Kesusasteraan Melayu” disempurnakan pelancarannya oleh Yang Amat Mulia Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz, Pro-Canselor USIM yang juga penaung penerbitan buku tersebut. Buku setebal 680 muka surat ini menerangkan tentang konsep, falsafah dan himpunan 13 tema teromba yang mempunyai kaitan rapat dengan ajaran Islam.

Dengan kerjasama Pusat Kebudayaan dan Penerbit USIM, buku ini memaparkan tentang teromba sebagai perbilangan adat iaitu ikatan puisi bebas memuatkan perihal undang-undang dan adat istiadat di kalangan masyarakat yang mengamalkan adat perpatih di Negeri Sembilan. Persoalan dan tema teromba dirungkaikan dalam bentuk penyampaian yang mudah difahami masyarakat seperti keikhlasan dalam dalam pelbagai perkara. Keikhlasan sangat penting dalam mewujudkan masyarakat yang harmoni dan tidak berpecah belah, serta mengelakkan diri daripada sikap angkuh dan sombong.

Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Dr. Mohamed Ridza Wahiddin yang ditemui berkata, “bersesuaian dengan kedudukan USIM di Negeri Sembilan, usaha memelihara kesenian teromba ini bertepatan dengan apsirasi universiti sebagai medan himpunan ilmu. Mendokumentasikan sebuah manuskrip dan penemuan khazanah bangsa seperti teromba untuk dijadikan rujukan adalah tanggungjawab kita bersama.”

“Menerbitkan buku yang bercirikan identiti Melayu yang kuat ini memberi nilai tambah kepada Pusat Kebudayaan USIM dan USIM sendiri.”  Pengarah Pusat Kebudayaan USIM, Ismail Ahmed menambah ini selari dengan peranan yang harus dimainkan Pusat kebudayaan USIM yang telah dilantik sebagai Ketua Kluster Muzik Identiti Negeri Sembilan oleh Kerajaan Negeri Sembilan melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Sembilan.

Buku “Adab dalam Teromba: Unsur Islam Dalam Kesusasteraan Melayu” hasil tulisan Tokoh Warisan Kebangsaan Orang Hidup (Teromba Penglipur Lara) Prof. Madya Dato’ Paduka Dr. Mohd Rosli Saludin anak jati kelahiran Kg. Dioh, Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Kerjasama membukukan penghasilan manuskrip dijalankan sejak awal januari tahun lalu dan terhenti seketika berikutan pandemik COVID-19 yang melanda seluruh negara. Dalam majlis yang sama beliau menzahirkan ucapan terima kasih khususnya kepada YAM Pro-Canselor USIM yang bertindak sebagai penaung dan hadir menyempurnakan pelancaran pada hari ini. Beliau amat menghargai kerjasama yang diberikan oleh pihak pengurusan USIM yang melihat teromba sebagai sebuah kesenian yang harus dijagai, diamati dan dihayati oleh seluruh masyarakat.

Pelancaran tersebut turut menyaksikan penyampaian sijil kepada kumpulan penerbitan yang terlibat dalam projek perbukuan naskhah ini. Dalam pada itu, majlis ini turut diserikan dengan acara persembahan teromba yang disampaikan dalam dua persembahan iaitu versi tradisi yang dialunkan oleh Prof. Madya Dato’ Paduka Mohd Rosli bin Saludin dan versi kreatif oleh gabungan alumni dan pelajar dari Kelab Seni Budaya Pusat Kebudayaan USIM.

Pelancaran disambut meriah dengan kehadiran pengurusan tertinggi universiti, Sasterawan Negara yang juga Profesor Adjung Fakulti Pengajian Bahasa Utama USIM Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, Karyawan Seni USIM Syed Indera Syed Omar, serta beberapa tetamu undangan secara maya yang terdiri daripada Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka Datuk Dr. Haji Awang Sariyan, Sakri Abdullah Pengarah Urusan ITBM, Pengarah Urus Setia Tetap Majlis Buku Kebangsaan Malaysia Mohd Khair Ngadiron dan beberapa lagi  yang turut bersama menyaksikan acara bersejarah itu melalui aplikasi zoom.

 

Disediakan oleh:
Rozihani Mohamad
Pusat Kebudayaan
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)