NILAI, 6 Ogos 2021 – Selari dengan misi dan visi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam menghasilkan penyelidikan yang memberi impak kepada masyarakat, satu Aplikasi mudah alih yang berasaskan konsep pendidikan Islam Prasekolah oleh Al-Ghazali dan Nasih Ulwan iaitu Muslim Teachers’ Guide telah dibangunkan bertujuan untuk melahirkan generasi Rabbani. Majlis Pelancaran ini telah disempurnakan secara dalam talian di Facebook USIM TV oleh Naib Canselor Prof Dato Dr Mohamed Ridza Wahiddin pagi ini.

Aplikasi mudah alih ini sangat signifikan ketika ini terutamanya ketika masyarakat mendepani krisis ekonomi dan sosial akibat pandemik Covid-19 di mana penyampaian modul asas pendidikan Islam dapat membantu para guru dan ibu bapa mendidik anak-anak mereka dari rumah.

Prof Dato Dr Mohamed Ridza Wahiddin dalam ucapannya berkata, aplikasi ini adalah berdasarkan hasil penyelidikan kualitatif yang dijalankan oleh Kumpulan Penyelidik Muslims in Creative Media Industries (MiCMI) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang bertajuk Combining the Al-Ghazali Concept of Tarbiyatul Awlad with Qualitative Data Analysis to Develop an Islamic Content on Mobile Application for Preschool Educators.

Pembangunan aplikasi Muslim Teachers’ Guide dibiayai sepenuhnya oleh Regional Collaboration Research & Publication (RCRP) Grant [USIM/UKM/RCRP/FKP/052005/70817].

Jelasnya lagi, panduan yang disediakan dalam Aplikasi Muslim Teachers’ Guide diharap dapat membantu para guru di dalam sesi pengajaran dan pembelajaran disamping bermain bersama murid.

“Konsep pembelajaran aktif sangat bermanfaat kepada perkembangan minda kanak-kanak, seterusnya membentuk mereka menjadi InsanTerbaik.  Ini bersesuaian dengan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran yang inklusif dalam era globalisasi dan dalam suasana pandemik, murid dapat menjalani proses pembelajaran berteraskan kemahiran berfikir aras tinggi”.

Aplikasi Muslim Teachers’ Guide bertujuan untuk memupuk tiga nilai utama iaitu Sayang, Tanggungjawab, Hormat.

Modul yang terdapat di dalam Muslim Teachers’ Guide adalah selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Falsafah Pendidikan Islam dan Kurikulum Standard Pendidikan Islam Prasekolah yang telah dikemaskini dan disemak oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

Majlis diakhiri dengan persembahan beberapa pelajar dari Tadika Awal Iman, Rania Childcare Education Centre.

 

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan