Nilai, 12 Januari 2009 – Saban hari kita mendengar berita tentang keganasan tentera Israel terhadap rakyat Palestin. Kaum wanita dan kanak-kanak kecil merupakan mangsa yang paling ramai terkorban di atas keganasan Israel yang tidak dapat dibendung.

Atas rasa simpati dan kesedaran yang tinggi, Universiti Sains Islam Malaysia telah melancarkan Program Rapat Umum yang merupakan sokongan kepada palestin. Antara objektif program rapat umum ini adalah untuk memberi sokongan kepada rakyat Palestin dari segi moral dan kewangan.

Di samping itu memupuk nilai-nilai murni di kalangan warga USIM. USIM juga telah bersetuju untuk menganjurkan kutipan derma segera untuk membantu rakyat Palestin yang teraniaya akibat pencerobohan Israel di Semenanjung Gaza. Tabung derma ini telah diedarkan seminggu yang lalu sehingga ke hari ini untuk misi bantuan kemanusiaan dari segi perubatan dan kewangan. USIM juga melanjutkan kutipan derma sehingga 23 Januari 2009 untuk diserahkan kepada Tabung Rakyat Palestin, Kementerian Luar Malaysia atau Tabung Kemanusiaan Gaza, AMAN Malaysia.

Acara dimulakan dengan laungan takbir “Allahuakhbar” oleh semua warga USIM dan perarakan bermula dari Bangunan Canselori menuju ke Stadium Tertutup Nilai. Acara diteruskan dengan ucapan bermula dengan wakil pelajar, saudara Farid bin Din, seterusnya, En. Nidzamuddin Zakaria, wakil kakitangan akademik dan En. Mohd Salehudin Sukor mewakili kakitangan pentadbiran yang turut membacakan sajak tentang keganasan di Palestin.

Acara diteruskan dengan kata-kata semangat dari Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Dr. Abdul Shukor Haji Husin. Beliau menyeru kepada semua warga USIM secara sukarela untuk memotong satu hari gaji untuk di dermakan kepada rakyat Palestin dan mengumpamakan walaupun menderma sebanyak sepuluh sen ianya sangat bernilai seolah-olah menghantar satu panadol kepada rakyat Palestin. Beliau juga berharap agar semua warga USIM berhati-hati dalam menghulurkan bantuan kerana dalam keadaan masa kini ada pihak yang cuba menangguk di air keruh iaitu menggunakan nama Palestin untuk kepentingan sendiri.

Lebih 5000 kakitangan dan pelajar USIM menyertai Rapat Umum ini. Semoga Allah S.W.T menyokong usaha murni ini bagi meringankan  beban rakyat Palestin yang dianiaya oleh rejim Israel.

Oleh :
pro@usim.edu.my
tel : 8025/8026/8028