NILAI, 23 Julai 2019 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mencatat sejarah apabila menjadi  Universiti Awam pertama di Malaysia yang mewujudkan Dasar Akses Terbuka (Open Access) iaitu konsep perkongsian dan penyebaran maklumat secara atas talian secara percuma tanpa sekatan bagi meningkatkan jumlah akses kepada hasil penulisan dan penyelidikan warga USIM dalam pelbagai medium penerbitan.

Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USIM Prof Dato Dr Roshada Hashim berkata, Dasar Akses Terbuka telah digubal dan diluluskan didalam Mesyuarat Pengurusan Universiti Lembaga Pengarah Universiti pada 23 Mei 2019 lepas dengan melantik Jabatan Perpustakaan USIM selaku pihak yang bertanggungjawab memperkasa, memperkaya, memulihara dan menyebarluaskan khazanah intelektual universiti ini.

“Objektif dasar ini adalah untuk menentukan hala tuju, prosedur serta tanggungjawab yang dimainkan oleh semua individu yang terlibat dengan inisiatif akses terbuka ini. Seterusnya, memberi penekanan kepada penulis, penyelidik serta jabatan yang terlibat tentang keperluan yang perlu dipatuhi serta memastikan setiap penulis, penyelidik serta jabatan yang terlibat memahami dengan jelas tugas dan tanggungjawab mereka selaras dengan polisi, peraturan, arahan dan prosedur yang diwujudkan”.

Menurut Dato’ Roshada lagi, satu platform akses terbuka iaitu Sistem Repositori Penyelidikan akan dibangunkan untuk penulis dan penyelidik USIM memuat naik hasil penulisan dan penyelidikan mereka untuk capaian awam bagi kelestarian sejagat.

Dengan adanya usaha ke arah pelaksanaan Akses Terbuka ini, USIM dijangka dapat menjayakan agenda universiti seperti yang dinyatakan dalam amanat Naib Canselor 2019 iaitu mengorak langkah yang lebih proaktif melalui pendekatan ke arah ‘universiti untuk masyarakat’ akan tercapai. Lantaran itu, ia juga akan memberi peluang kepada USIM menjalinkan kerjasama dengan pelopor dan perintis akses terbuka di seluruh dunia.

 

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan