NILAI, 2 September 2021 – Susulan pengumuman YAB Perdana Menteri pada 24 Ogos 2021 tentang peralihan ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) baru baru ini, Negeri Sembilan, di mana kampus Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) secara tidak langsung terlibat dengan penguatkuasaan Fasa 2 PPN mulai 6 September 2021 ini. Walau bagaimanapun, Kampus Pandan Indah masih kekal dengan penguatkuasaan Fasa 1 PPN sebagaimana notis bertarikh 30 Julai 2021.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam oleh Naib Canselor Prof Dato Dr Mohamed Ridza Wahiddin, meskipun Negeri Sembilan telah memasuki Fasa 2 PPN, pengoperasian pejabat masih diberi keutamaan supaya semua staf sama ada lantikan tetap, sementara, kontrak atau sambilan hendaklah meneruskan tugasan secara Bekerja Dari Rumah.

Manakala bagi Pusat Tanggungjawab Kritikal seperti Jabatan Keselamatan, Pusat Kesihatan Universiti, Pusat Perumahan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Bahagian Pematuhan Syariah, Integriti, Pengurusan Risiko dan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Pasukan Petugas Bilik Gerakan COVID-19 Universiti serta Pejabat Mel Universiti hendaklah menentukan penggiliran/penjadualan dalam kalangan staf/pasukan petugas masing-masing untuk bertugas di pejabat atau lokasi lain yang ditentukan tetapi hendaklah tidak melebihi 20% daripada bilangan staf dalam satu-satu masa.

Tambah beliau lagi, sekiranya wujud tugasan yang melibatkan pembayaran kontrak/invois/gaji atau penyelenggaraan fasiliti atau penyelenggaraan sistem maklumat atau apa-apa tugasan lain yang hanya dapat disempurnakan di pejabat, Ketua Pusat Tanggungjawab yang tersebut boleh mengarahkan staf yang relevan hadir bertugas di pejabat atau lokasi lain yang ditentukan tetapi hendaklah tidak melebihi 10% daripada bilangan staf Pusat Tanggungjawab tersebut atau maksimum empat (4) orang pada satu-satu masa, mana yang lebih tinggi bilangannya. Staf yang diarahkan tersebut hendaklah mendapatkan kebenaran memasuki kawasan Kampus daripada Ketua Bahagian, Bahagian Pematuhan Syariah, Integriti, Pengurusan Risiko dan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan melalui Portal iStaff.

Warga USIM juga disaran mematuhi Garis Panduan Pengoperasian Pejabat Susulan Peralihan ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara seperti yang telah diedarkan bagi menjelaskan kaedah bertugas di pejabat dan di rumah kepada staf dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara tersebut.

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan