NILAI, 3 JUL 2015 – Pusat Akses Pembelajaran Terbuka Global atau Global Open Access Learning Centre (GOAL Centre) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berjaya meletakkan USIM sebagai Universiti Awam (UA) pertama dipilih untuk di senarai dalam platform Apple iTunes U.

Apple iTunes U merupakan katalog terbesar bagi bahan pembelajaran percuma dari serata dunia. Selain itu juga, Apple iTunes U menyediakan pendaftaran program atau kursus secara percuma dan tanpa had. Berkonsepkan pembelajaran dalam talian, bahan yang telah dimuat naik ke dalam peranti Apple juga boleh diakses secara offline, selaras dengan hasrat untuk meluaskan akses kepada pendidikan.

Kerjasama antara USIM dan Apple Education (M) telah dimulakan sejak penghujung tahun 2014, manakala usaha awal untuk mendaftarkan USIM ke dalam platform Apple iTunes dimulakan pada Februari 2015. Pendaftaran USIM telah diluluskan baru-baru ini dengan Naib Canselor sebagai ketua, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) sebagai pemantau dan Pengarah GOAL Centre selaku Ketua Projek.

“Usaha memperkaya kandungan Apple iTunes U dimulakan dengan memilih dan menempatkan video Open Educational Resources USIM yang mempunyai unsur integrasi Naqli dan Aqli. Langkah ini akan diteruskan dengan menempatkan tiga (3) kursus Massive Open Online Course (MOOC) USIM ke dalam iTunes U menjelang akhir tahun 2015. Penghasilan iBook pula akan diusahakan bermula tahun 2016 dengan kerjasama fakulti di USIM.”

“Dengan tersenarainya USIM di dalam platform ini, kandungan yang kita letakkan di dalamnya boleh digunakan sebagai perkongsian kursus dan program secara online oleh pengguna iTunesU di seluruh dunia dengan percuma. Oleh itu, pihak GOAL Centre mengalu-alukan bahan-bahan berguna dan mempunyai nilai Naqli dan Aqli untuk perkongsian secara global di iTunesU,” ujar Prof. Dr. Rozhan Mohammed Idrus, Pengarah GOAL Centre.
Sehingga penghujung Jun lalu, iTunes U USIM telah menempatkan lebih dua belas (12) buah video melalui 7 kategori. Rekod akses juga menunjukkan bahawa iTunes U USIM telah dikunjungi dari dari pelbagai negara termasuk Amerika Syarikat dan China.

GOAL Centre telah ditubuhkan pada Oktober 2011 bagi membangun, melaksana dan melestarikan e-pembelajaran di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Salah satu output yang disasarkan adalah untuk menyediakan saluran proses pemindahan atau perkongsian pengetahuan kepada masyarakat (sustainable change in knowledge transfer and community engagement).

Disediakan oleh:

Zaini Othman

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204