NILAI, 25 Oktober 2018 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melebarkan peranannya untuk menjadi destinasi utama diperingkat global bagi menawarkan kepakaran dan latihan berkaitan halal apabila memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) antara USIM dengan Longmai (HK) Global Halal Resource Centre Limited di Henan,China pada Selasa.

Melalui MoA ini, USIM melalui Graduate School of Muamalat (GSM) akan menawarkan khidmat dan tenaga pakar halal universiti untuk menyediakan latihan halal kepada pemain industri halal di China. Bentuk latihan yang disediakan berfokuskan kepada tiga platform iaitu Halal Industry Foundation Course, Halal Industry Foundation e-Course dan Professional Halal Industry Executive Program. Ia akan diadakan di China dan Malaysia mengikut keperluan semasa dalam tempoh dua tahun.

Longmai (HK) Global Halal Resource Centre Limited yang beroperasi di Zhengzhaou, Henan, China terlibat dalam perdagangan makanan dan minuman halal, perundingan dan perkhidmatan pengurusan melalui program kerjasama dengan penyedia latihan/pendidikan yang diiktiraf. Di samping itu, syarikat ini juga menyediakan Perunding Halal Profesional dan berdedikasi untuk membantu pelanggan mereka mendapatkan Pensijilan Halal MS1500: 2009 atau perkara yang berkaitan dengan Halal yang lain.

Pemeteraian MoA antara USIM dan Longmai ini amat bermakna kerana telah disaksikan sendiri oleh DYMM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud selaku Tuanku Canselor USIM. DYMM Tuanku Canselor berada di Henan, China bersama delegasi USIM yang diketuai oleh Profesor Dato Roshada Hashim, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) sempena Lawatan Kerja Rasmi USIM ke China. Lawatan kerja rasmi ini adalah atas jemputan pihak ARA Halal Certification Services Center Inc yang berpengkalan di China.

“USIM amat berbesar hati atas kepercayaan yang diberikan oleh pihak industri luar negara untuk kita melatih mereka dalam aspek halal makanan. Kita sedia maklum China kini begitu agresif menerokai industri halal ini dan kemampuan kita menawarkan latihan halal adalah selari dengan peranan Malaysia yang diiktiraf kualiti pensijilan halalnya oleh dunia” ujar Profesor Dato’ Roshada Hashim.

USIM telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) selama setahun bersama Longmai sebelum ini dengan kumpulan pertama yang menjalani latihan halal di bawah seliaan USIM telah berjaya menamatkan kursus mereka baru-baru ini.

 

Disediakan oleh:
Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/78629/78620 Faks : 06-798 8032