NILAI, 2 November 2020 – Bersempena sambutan Bulan Kaunseling Kebangsaan 2020, Universiti Sains Islam Malaysia telah mengadakan 12 aktiviti dan program dengan mengetengahkan pelbagai diskusi dengan tajuk yang menarik untuk memberi bimbingan dan celik akal kepada warga USIM dalam menguruskan pelbagai isu peribadi, kerjaya dan keluarga dalam kehidupan sehari-harian.

Antara program yang diaturkan bermula 12 Oktober sehingga 2 November adalah Slot Coffee Talk With Counselor sebanyak 3 siri, Diskusi Kekeluargaan, Program Cegah Stres, Booster Emosi, Diskusi Khas dan pertandingan Reka Cipta Poster.

Dengan bertemakan Emosi Ceria, Mental Sejahtera, Hidup Gembira, Bulan Kaunseling Kebangsaan 2020 Peringkat USIM ini telah dianjurkan buat kali ke-2 yang diterajui oleh Seksyen Psikologi dan Kaunseling Jabatan Pendaftar. Pada kali ini, ia diadakan secara kerjasama dengan semua pasukan kaunselor USIM termasuk kaunselor Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan kaunselor/pensyarah di bawah Program Kaunseling, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP). Di samping itu, Pejabat Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Jabatan Canselori juga dilibatkan Bersama sebagai Penganjur Bersama dalam pasukan ini.

Puan Nurhazreen Mohd Nor, Pegawai Psikologi berkata antara objektif penganjuran program ini adalah bagi memberi bimbingan dan celik akal kepada warga USIM dalam pengendalian masalah kehidupan dengan bijak dan rasional. melatih warga USIM untuk mengelakkan diri daripada gejala stres dan kemurungan yang berpanjangan. Selain itu, ia juga dapat memberi kesedaran tentang pentingnya perkhidmatan kaunseling yang dikendalikan oleh kaunselor yang pakar dalam bidang tersebut, serta melahirkan warga USIM yang seimbang dan sihat dari segi psikologi diri terutama dalam aspek kesihatan emosi dan mental.

“Penganjuran secara besar-besaran pada tahun ini menampilkan lebih banyak aktiviti dan pengisian berbanding tahun lepas. Walaupun kesan pandemik COVID-19 yang semakin teruk menyebabkan semua aktiviti terpaksa dijalankan secara dalam talian dan live, ia tetap mendapat sambutan yang menggalakkan daripada warga USIM sama ada staf mahupun pelajar”

Menurut beliau lagi, terdapat permintaan dari warga USIM agar program dan pengisian berbentuk psikososial begini diteruskan kerana ia meningkatkan ilmu dan kesedaran diri dalam mengendalikan isu dan masalah yang berlaku dalam kehidupan ini dengan baik, terancang dan tanpa stres melampau.

 

Layari dan subscribe USIM TV untuk tontonan topik yang lebih menarik
https://www.facebook.com/186543375136767/videos/3327766577272106/

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan