NILAI, 25 Ogos 2020 – Sambutan Bulan Kebangsaan adalah merupakan satu acara yang diraikan setiap tahun bagi mensyukuri nikmat kemerdekaan yang dikecapi sejak 1957. Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) tidak ketinggalan turut sama meraikan dan menginsafi anugerah kebebasan yang diperturunkan oleh pejuang-pejuang tanah air untuk mempertahankan kedaulatan negara.

Bertemakan “Malaysia Prihatin”, ia dilihat amat bertepatan dengan aspirasi yang didukung kerajaan ini, bahawa seluruh rakyat MALAYSIA, sama ada penjawat awam, sektor swasta, sukarelawan NGO mahupun orang perseorangan turut bersama-sama memerangi musuh di kala ini iaitu wabak Covid-19. Manakala PRIHATIN menunjukkan inisiatif kerajaan yang merangkumi aspek ekonomi, kebajikan dan kelangsungan rakyat Malaysia.

Bagaimanapun dalam keadaan dunia dilanda penularan wabak Covid-19, sambutan tahun ini akan memperlihatkan pembaharuan dari segi sambutan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh kerajaan dalam usaha menangani penularan wabak Covid-19 ini.

Pelbagai program telah diaturkan peringkat USIM antaranya Festival Koir Kemerdekaan Piala Pendaftar USIM (FESKEP) di mana peringkat saringan dibuat secara dalam talian manakala peringkat akhir dibuat secara langsung. Kedua, program Puisi Rumah PENA iaitu program kolaborasi anjuran Persatuan Penulis Malaysia (PENA) dengan Kerjasama USIM, ITBM dan DBP diadakan secara dalam talian secara langsung untuk menaikkan semangat dan jiwa yang luhur melalui penghayatan persembahan puisi, nyanyian lagu puisi serta perkongsian mengenai sejarah tanah air yang diungkapkan melalui persembahan pentas seperti syair, gurindam dan sebagainya. Ketiga, Pertandingan Poster Kebangsaan USIM 2020 untuk menghasilkan artwork sempena bulan kebangsaan yang dianjurkan secara dalam talian. Artwork/Poster yang terpilih akan menjadi artwork rasmi Bulan Kebangsaan Peringkat USIM 2020.

Seterusnya, Ekspresi Merdeka USIM 2020 memuat naik gambar bertemakan kemerdekaan di media sosial dengan keterangan info yang menarik, Pertandingan Jabatan Patriotik iaitu menghias jabatan dengan tema merdeka yang menarik. Borak Rakyat: Wacana Kemerdekaan bertajuk “Merdeka Tanpa Menghayati Rukun Negara: Apa Solusinya?”, dianjurkan secara dalam talian melalui Facebook Pusat Kebudayaan USIM. Wacana ini akan memfokuskan topik kemerdekaan untuk menyemarakkan semangat  patriotik  di  kalangan warga kampus dan rakyat Malaysia umumnya dan seterusnya Khutbah Jummat, bacaan yassin dan doa selamat yang akan diterajui oleh Pusat Islam.

Program-program ini telah berlangsung sejak 28 Julai dan dijangkan berakhir pada 28 September 2020 untuk acara penutup Bulan Kebangsaan.

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan