KELANTAN, 4 November 2022 – Bertemakan “Innovation, Creativity, Technology, Entrepreneurship and Society”, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) merangkul sembilan Emas, lima Perak dan dua Gangsa bagi produk inovasi yang dipertandingkan di Persidangan dan Ekspo Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi Antarabangsa Tahun 2022 (PECIPTA’22) yang bertempat di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Kampus Bachok.

Naib Canselor USIM, Prof. Ts. Dr. Sharifudin Md. Shaarani mengucapkan terima kasih atas komitmen dan tahniah dengan pencapaian yang ditunjukkan sepanjang persidangan ini berlangsung, dan berharap produk inovasi ini dapat diketengahkan untuk pengkomersialan agar dapat dikongsikan manfaatnya kepada masyarakat.

Manakala, Prof. Madya Dr. Nurlida Basir, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan & Inovasi (PPPI) USIM berkata, USIM menghantar 16 produk inovasi untuk bertanding di PECIPTA 2022, sekaligus merupakan penyertaan yang terbanyak disertai oleh USIM pada kali ini.

PECIPTA’22 menyaksikan Prof. Dr. Azman Ab Rahman, Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU) mendapat pengiktirafan Best Award Anugerah Kluster Terbaik Pendidikan bagi produk inovasi bertajuk Global Tahfiz Game (GTG). Menurut Prof. Dr. Azman Ab Rahman selaku Ketua Penyelidik, GTG ini merupakan salah satu inisiatif yang dibangunkan untuk memudahkan masyarakat khususnya para huffaz dalam mengukuhkan hafazan dengan konsep gamifikasi serta didik hibur yang lebih inovatif dan efektif. Dibangunkan sebagai produk papan permainan pertama yang berasaskan mashaf al-Quran serta sukatan subjek Pendidikan Islam sekolah rendah dan menengah di bawah subtopik Al-Quran dan Tajwid.

“Ia mempunyai tiga aras soalan yang berbeza berdasarkan 30 juzuk al-Quran yang dirangka khas sesuai untuk mereka yang ingin mengukuhkan hafazan. Objektif produk ini adalah untuk meningkatkan kesedaran muraja’ah hafalan Al-Quran melalui medium pembelajaran yang interaktif dan ilmiah serta meningkatkan kefahaman untuk menghafal ayat suci Al-Quran dan mengulanginya sehingga lancar”, tambahnya lagi.

Produk inovasi lain yang turut memenangi pingat  emas adalah Q-Cat Kit USIM yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Azmani Sahar dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Digital Quran Model For Deaf yang diketuai oleh Dr. Siti Fatimah Mohd Tawil dari Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS), Ice Box yang diketuai oleh Prof. Madya Ar. Dr. Elina Mohd Husini dari Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB), i-Tourism yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Mohammad Najib Jaffar dari Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), i Status Hadis: Word Add-In,  yang diketuai oleh Dr. A. Irwan Santeri Doll Kawaid dari FPQS, SAKTI (Secure App for enKrypting Text Information) diketuai oleh Prof. Madya Dr. Azni Haslizan Ab Halim dari Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Plasmonic FBG-Based Honey Quality Tester yang diketuai oleh Dr. Wan Maisarah Mukhtar dan Cyberpoly (Cybersecurity Edugame) yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Sakinah Ali Pitchay.

Produk inovasi yang memenangi pingat perak  pula adalah e-Prosumer yang diketuai oleh Prof. Ir. Dr. Hafizal Mohammad dari FKAB, Tanaffas yang diketuai oleh Dr. Nur Zaireena Zainal dari FPSK, Mysif Chain yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Khairil Faizal Khairi dari Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM), Eisei Bag yang diketuai oleh Dr. Nur Zaireena Zainal dari FPSK dan An Integrated Interactive Approach to Build the personality of Secondary School Students Academicall yang diketuai oleh Dr. Abdel Rahman Ibrahim Suleiman Islieh dari Kolej Genius Insan (KGI).

Akhir sekali, dua produk yang memenangi pingat gangsa adalah Eye-Zy yang diketuai oleh Dr. Maimunah Abdul Muna’im dari FPSK dan Halal Vocation Game yang diketuai oleh Dr. Nurdalila A’wani Abd Aziz dari Institut Fatwa dan Halal (IFFAH).

Program anjuran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang berlangsung selama tiga hari itu bermula 1 hingga 3 November 2022.

 

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan