BANGI – Pasukan Debat Bahasa Melayu Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus mempamerkan kecemerlangan dalam arena perdebatan Institusi Pengajian Tinggi apabila berjaya merangkul gelaran naib juara di dalam Pertandingan Debat Perdana Pengguna Siswa 2012 yang diadakan di Dewan Tun Abdullah Mohd Salleh, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 15 Mei 2012 baru-baru ini.

Pasukan  USIM yang diwakili oleh Mohd Ikhwan Rosseli dan Muhammad Shah Izad Salleh yang bertindak selaku Kerajaan Pembuka memperdebatkan usul “Dewan Ini Akan Memilik Negarakan Industri Barangan Kawalan”. Selaku naib johan, mereka membawa pulang wang tunai RM 4000.00, piala iringan dan sijil penghargaan. Manakala Pasukan UKM selaku Pembangkang Penutup yang diwakili oleh Mohd Daniel Baharuddin dan Najah Izzati Sulaiman telah dinobatkan sebagai Johan dengan membawa pulang wang tunai RM 5000.00, piala pusingan, piala iringan dan sijil penghargaan. Hadiah kemenangan telah disampaikan oleh YB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK)  yang turut hadir menyaksikan pertandingan akhir yang berlangsung sengit ini.

Menyedari seni berfikir dan berucap ini mampu memberi impak besar dalam memperkembangkan  ilmu kepenggunaan selain berupaya mengumpul idea bernas dan segar, buat julung-julung kalinya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan pertandingan debat ini dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi, Majlis Debat Universiti-universiti Malaysia (MADUM), Yayasan Orator dan Persatuan Alumni Debat dan Pidato Malaysia (ADI).

Pertandingan ini yang menggunapakai format British Parliamentary (BP) Style iaitu 4 buah pasukan yang terdiri daripada dua orang pendebat, akan berdebat secara serentak dengan memainkan peranan  sebagai Kerajaan Pembuka, Kerajaan Penutup, Pembangkang Pembuka dan Pembangkang Penutup. Kelainan yang ditampilkan ini telah berjaya menarik penyertaan sebanyak 72 pasukan debat mewakil 50 buah IPT seluruh negara untuk memperdebatkan 50 usul yang telah disediakan.

“Tidak dapat dinafikan penggunaan format debat yang berbeza dari format debat biasa,  sebenarnya memberi tekanan kepada pasukan. Ini kerana kami perlu mengolah dan menyusun semula pengisian hujah agar lebih kemas supaya jelas kronologi kes yang ingin di bawa” ulas para pendebat USIM.

Y.Bhg. Profesor Dato’ Dr. Mohamed Asin Dollah, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM yang turut hadir memberikan sokongan moral kepada para pendebat USIM melahirkan rasa bangga dan tahniah beliau di atas pencapaian yang telah diperolehi ini dan berharap kecemerlangan ini akan dapat diteruskan lagi dalam pertandingan debat lain yang akan disertai selepas ini.

Selain USIM, sebanyak 3 buah pasukan debat mewakili IPT masing-masing iaitu UKM, Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) dan Universiti Sains Malaysia (USM) turut menempah slot ke pertandingan akhir.

Oleh :
Penasihat Kelab Debat
Universiti Sains Islam Malaysia