NILAI, 29 Julai 2021  – Universiti Sains Islam Malaysia melalui Pusat Islam USIM serta Jawatankuasa Sukarelawan (Bukan Kesihatan), Pusat Pemberian Vaksin (PPV) IPT Mega USIM menzahirkan keprihatinan kepada petugas sukarelawan dalam dan luar USIM yang terkesan dengan Covid-19. Inisiatif ini merupakan satu bentuk penghargaan atas komitmen mereka dalam memastikan proses pemberian vaksin di PPV ini berjalan dengan lancar.

Majlis ringkas penyerahan sumbangan tersebut telah disempurnakan oleh Pendaftar USIM, Dato’ Muhammad Haizuan Rozali dan turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Sukarelawan (Bukan Kesihatan) PPV IPT MEGA USIM, En. Md. Ishah Rahman serta Pegawai Pusat Islam USIM, En. Muhamad Fitri Abdul Razak.

Dalam majlis tersebut, enam (6) petugas yang terkesan telah menerima sumbangan berbentuk wang tunai daripada Dana Khas Kebajikan Tabung Kebajikan Pusat Islam USIM.

Muhammad Haizuan berkata, “Semua petugas yang bertugas di PPV IPT Mega USIM ini telah dianggap seperti keluarga. Justeru, apabila ada yang terkesan dengan Covid-19 ini, seharusnya USIM tampil memberikan sedikit sumbangan sebagai tanda sokongan moral yang sedikit sebanyak dapat membantu meningkatkan motivasi mereka”.

”Orang ramai yang hadir ke PPV IPT Mega USIM untuk menerima dos vaksin mereka juga tidak perlu risau dengan situasi kesihatan dan keselamatan di PPV ini kerana Pengurusan PPV IPT Mega USIM sentiasa memastikan pengoperasian PPV mematuhi SOP yang telah ditetapkan, termasuklah melaksanakan operasi sanitasi PPV pada setiap hari” katanya.

Sejak memulakan operasinya pada 28 Jun 2021, sejumlah 81,062 dos vaksin telah diberikan kepada warga Negeri Sembilan terutamanya yang berada di daerah Seremban dalam usaha memastikan kadar pemberian dan penerimaan vaksin di negeri ini dipertingkatkan.

 

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan