NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) baru-baru ini menerima kunjungan daripada alumninya yang berasal daripada Oman yang kini merupakan kakitangan akademik di Kolej Agama Islam, Kementerian Agama dan Waqaf Oman.
Dalam pertemuan yang dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr. Adnan Mohamed Yusoff serta pegawai universiti dan wakil alumni tersebut, beberapa perancangan kerjasama dalam bidang akademik dan masa depan jaringan akademik bagi calon pelajar dari negara timur tengah tersebut telah dibincangkan. Antaranya termasuklah peluang untuk menjalinkan kerjasama dalam penyelidikan dan penerbitan melalui program penempatan sabatikal di USIM.
Kerjasama ini sekiranya direalisasikan dengan baik, berupaya untuk menyemarakkan semula kehadiran pelajar antarabangsa terutama dari negara Oman ke USIM dan hubungan dua hala antara institusi pendidikan berkaitan. Hal ini selaras dengan usaha kedua-dua buah negara dalam merancakkan semula aktiviti pengantarabangsaan dalam bidang akademik yang terhalang selama hampir dua tahun disebabkan oleh pandemik COVID-19.
Diakhir pertemuan, kedua-dua pihak bersetuju agar hubungan yang sedia terbina ini dikukuhkan dengan beberapa siri program/aktiviti yang bersifat akademik yang akan diteruskan dalam masa terdekat.
Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan