NILAI, 25 November 2021 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menerima sebanyak 200 anak-anak pokok hutan daripada Jabatan Perhutanan Negeri, Negeri Sembilan (JPNNS) pada Program Penanaman Pokok di Arboretum USIM petang semalam sempena Program Penanaman 100 Juta Pokok 2021-2025 Negeri Sembilan.

Program tersebut telah dianjurkan oleh Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti (JPPF) dengan kerjasama Pusat Kelestarian dan Kesejahteraan USIM (C4SS), Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) USIM dan Institut Sains Islam (ISI) serta dirasmikan oleh Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Dr. Mohamed Ridza Wahiddin.

Bertepatan dengan hasrat Universiti untuk menjadikan kampus USIM sebagai kampus lestari dan menepati Blueprint Kelestarian USIM di bawah Skop Biodiversiti dan Landskap – Kempen 1 Warga 1 Pokok, USIM turut mencadangkan agar sebuah Arboretum diwujudkan dan menjadi pusat koleksi tumbuhan hidup yang sekiranya jika dipelihara bermanfaat untuk tujuan penyelidikan, pemuliharaan germplasma dan pendidikan.

Sebanyak 12 spesis pokok hutan telah ditanam antaranya Kembang Semangkuk Jantung (scaphium macropodum), Merbau (intsia palembanica), Sepetir Daun Nipis (sindora echinocalyx), Kapor (dryobalanops aromatica) dan Chengal (neobalanocarpus heimii) serta beberapa spesis lain.

Turut hadir ke program tersebut adalah En.Nuazri Sedik, Penolong Pengarah (Silvikultur dan Perlindungan Hutan) JPNNS, Ir.Azahar Awaluddin, Pengarah JPPF USIM serta Prof. Madya Dr. Mohd Zin Kandar, Pengarah Pusat Kelestarian dan Kesejahteraan USIM.

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan