NILAI, 23 Februari 2021 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menerima seramai 84 pelajar baharu bagi pengambilan ke Semester II Sesi Akademik 2020/2021 yang dijadualkan akan mendaftar pengajian secara dalam talian bermula 15 dan 16 Mac 2021.

Menurut Pengarah di Pusat Pemasaran dan Kemasukan Pelajar (PPKP), Prof Madya Dr Nurkhamimi Zainuddin, pengambilan ke Semester II adalah alternatif bagi pelajar-pelajar menyambung pengajian ke USIM tanpa menunggu pengambilan melalui saluran UPU yang diselaraskan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi ambilan perdana pada bulan Oktober nanti.

Beliau menambah “Untuk pengambilan Semester II Sesi Akademik 2020/2021 ini, USIM dijangka menerima 56 orang pelajar tempatan dan 28 orang pelajar antarabangsa dari beberapa negara seperti Australia, Arab Saudi, Bangladesh, Brunei, Indonesia, Palestine, Thailand dan Singapura”.

Semua pelajar baharu Semester II Sesi Akademik 2020/2021 yang berkeperluan khas akan mendaftar masuk di Kolej Kediaman 1 pada 18 Mac 2021 tertakluk kepada SOP yang ketat dan diwajibkan menjalani proses isolasi. Kemudian mereka akan mengikuti Minggu Taaruf secara dalam talian yang diuruskan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar selama lapan hari bermula 19 Mac hingga 28 Mac 2021. Sesi pengajaran & pembelajaran bagi semester ini akan dijalankan secara hibrid sebagai menyokong usaha Kerajaan memerangi COVID-19.

Bagi pemohon ambilan Mac, mereka boleh menyemak keputusan permohonan di https://etasjil.usim.edu.my pada 23 Februari 2021 bermula jam 12 tengah hari.

“Melihatkan kepada trend penawaran kali ini, USIM berharap agar proses promosi dan jumlah permohonan ke USIM dari kalangan pelajar antarabangsa tidak terjejas sungguhpun pandemik Covid-19 masih belum reda. Pihak USIM optimis dalam mengawal mutu dan kualiti sesi pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan,” katanya lagi.

Sekalung penghargaan diucapkan kepada beberapa Pusat Tanggungjawab (PTj) yang terlibat seperti Pusat Perumahan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Bendahari, Bahagian Pengurusan Akademik, USIM Alamiyyah, Klinik Pakar Kesihatan.

USIM dan Pusat Pembangunan Sistem dan Kejuruteraan yang banyak membantu sekaligus melancarkan proses pendaftaran pada kali ini.

 

Disediakan oleh:
Pusat Pemasaran dan Kemasukan Pelajar (PPKP)
Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan