NILAI, 25 Jun 2019 – Seramai 854 orang pelajar baharu program asasi (Tamhidi) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sesi 2019/2020 mendaftar bertempat di Dewan Tuanku Canselor USIM pada 22 Jun, dengan pecahan 275 pelajar lelaki dan 579 pelajar perempuan termasuk dua orang pelajar dari Brunei dan Indonesia.

Secara keseluruhannya Pusat Tamhidi USIM telah menerima sebanyak 12,127 permohonan bagi kemasukan kali ini yang mencatatkan seramai 1,526 pelajar telah memilih USIM sebagai pilihan pertama manakala seramai 1,348 calon pelajar telah ditawarkan melanjutkan ke lima Program Tamhidi iaitu Tamhidi Sains dan Teknologi, Tamhidi Perakaunan dan Muamalat, Tamhidi Syariah dan Undang-undang, Tamhidi Perubatan dan Tamhidi Pergigian.

“Daripada rekod keseluruhan pendaftaran, Program Tamhidi Sains dan Teknologi menerima pendaftaran pelajar paling tinggi iaitu seramai 276 pelajar diikuti Tamhidi Perakaunan dan Muamalat seramai 198 pelajar, Tamhidi Syariah dan Undang-undang seramai 180 pelajar, Tamhidi Perubatan seramai 136 pelajar dan Tamhidi Pergigian seramai 64 pelajar,” ujar Pn Alifah Hj Hamid, Pengarah Pusat Tamhidi.

“Alhamdulillah proses pendaftaran berjalan lancar, setiap proses mengambil masa kira-kira 2 hingga 3 minit untuk selesai. Pengangkutan bas disediakan bagi membawa keluarga dan pelajar ke kolej kediaman, di mana pelajar USIM bersedia sebgai urusetia bagi urusan mengangkut beg dan barangan lain. Selain itu inisiatif menyediakan tiga sesi pendaftaran akademik dilihat satu cara strategik yang dapat memberi ruang ibu bapa memilih waktu pendaftaran anak-anak mengikut masa masing-masing,” ujar Prof. Madya Dr. Mohd Rushdan Mohd Jailani, Timb. Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni USIM yang turut hadir melihat proses pendaftaran berlangsung.

Antara pelajar yg ditemui berkongsi keterujaan untuk mendalami hasrat USIM dalam menerajui Integrasi ilmu Naqli dan Aqli. Bagi pelajar dari Brunei, Nurzawanah Mazlan, 17, memilih Program Perubatan memasuki USIM melalui sijil SPUB dan O-level atas dorongan rakan senior selain mendapat sokongan penuh daripada keluarga. Pelajar Sek. Ugama Arab Men. Perempuan RIPAHS ini tidak menganggap berjauhan dengan keluarga nanti faktor penghalang untuk menyambung pengajian.

“Saya bercita-cita menjadi doktor perubatan, saya ingin bagi menunaikan hasrat ibu bapa yang selalu berpesan supaya menjadi contoh kepada 6 orang adik beradik yang masih kecil. Saya bersedia untuk menempuh pembelajaran, yang pastinya akan terasa rindu berjauhan dengan keluarga namun percaya doa ibu bapa dan restu mereka menjadi kekuatan buat saya,” ucapnya yang merupakan antara lima pelajar terbaik peringkat O-Level.

Manakala bagi Ainin Sofiya Saudi, 18, dari Rompin, Pahang berkata kekurangan diri, buta sebelah mata kanannya sejak lahir tidak mematahkan semangat atau memudarkan keyakinannya untuk berhadapan dengan rakan baharu.

“Saya memilih USIM kerana tertarik dengan pendekatan yang diterapkan kepada pelajarnya. Tambahan, sokongan dan maklum balas positif daripada kakak yang merupakan Alumni USIM menguatkan rasa ingin menjadi pelajar USIM. Terima kasih buat guru-guru sebelum ini yang menjadikan saya lebih berkeyakinan dan kekurangan diri ini tidak sesekali akan mengganggu pembelajaran kelak,” ujarnya yang menanam impian menjadi Akauntan Islam yang berjaya.

Bagi Adam Anas Yap bin Taufiq Yap dari Bangi memilih USIM sebagai pilihan utama menyambung pengajian dalam Program Sains dan Teknologi dan berharap permulaan bergelar sebagai pelajar Tamhidi dapat diteruskan ke peringkat seterusnya juga di USIM.

Dalam pada itu kelancaran proses pendaftaran turut mendapat pujian ibu bapa apabila melihat pelajar memandu arah yang menawarkan bantuan mengangkat beg. Prof. Madya Dr. Rushdan berkata penglibatan pelajar ini bagi melatih dari aspek aspek keurusetiaan dan memahami peraturan USIM sebagai pembimbing rakan baharu.

“Urusetia ini terdiri daripada kumpulan pelajar yang telah tamat latihan industri hadir berkhidmat kepada secara tidak langsung menampilkan pelajar USIM yang kompeten dengan identiti GIINA seperti yang dihasratkan oleh Universiti,” ujarnya.

Tambahnya lagi, pelajar baharu ini akan menjalani Program Hari Taaruf yang dikendalikan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar sehingga 1 Julai kemudian pelajar baharu akan menjalani Majlis Restu Ilmu Naib Canselor dan Lafaz Ikrar pada 8 Julai bertempat di Dewan Tuanku Canselor.

Disediakan oleh:
Syazlyna Jamil
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan