NILAI, 13 Disember 2017 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menerima Anugerah Best Industry Engagement Award Public Private Research Network (PPRN) bersempena Global Entrepreneurship Community (GEC) Summit 2017 yang berlangsung semalam bertempat di Kuala Lumpur Convention Center.

USIM membawa pulang trofi serta hadiah berjumlah RM 50,000 daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Malaysia yang disampaikan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak serta diiringi oleh YB Dato’ Seri Idris Jusoh, Menteri Pendidikan Tinggi.

USIM merupakan antara 26 Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) yang turut serta dalam libat sama menyelesaikan antara permasalahan industri. Peranan utama yang dilaksanakan oleh USIM melalui Pusat Pembangunan Keusahawanan Siswa (PPKS) USIM adalah dengan menganjurkan bengkel PPRN yang mengumpulkan usahawan-usahawan yang menghadapi masalah teknikal dan teknologi dalam operasi perniagaan mereka.

“Dalam tempoh 2015 sehingga kini, sebanyak lapan siri bengkel PPRN telah dianjurkan oleh PPKS dengan mengumpulkan lebih 100 buah syarikat usahawan di sekitar Negeri Sembilan yang turut dihadiri oleh para usahawan dari Melaka, Perak, Johor, Kuala Lumpur dan Selangor. Para usahawan akan dibantu oleh fasilitator yang terdiri daripada pensyarah USIM dan pegawai PPKS bagi mengisi maklumat permasalahan yang dihadapi oleh mereka. Borang-borang ini seterusnya disaring oleh PPKS bagi memastikan maklumat yang dihantar kepada KPT adalah lengkap dan mudah difahami untuk proses selanjutnya,” ujar Dr Ummi Salwa, Pengarah PPKS USIM.

“USIM mengekalkan konsistensi dalam menghantar permasalahan teknikal dan teknologi usahawan kepada KPT hingga berjaya diselesaikan dalam tempoh yang ditetapkan oleh KPT,” tambahnya lagi.

Dana PPRN bernilai RM50,000 merupakan geran inisiatif KPT dalam menyediakan platform terbaik kepada para penyelidik untuk membantu menyelesaikan masalah industri dengan menggunakan hasil kepakaran dan penyelidikan mereka di institusi pengajian tinggi masing-masing. Selain itu, program ini dapat mengurangkan kos usahawan untuk membeli mesin atau peralatan di pasaran yang mungkin mempunyai kos yang tinggi dan tidak bersesuaian dengan keperluan pihak industri.

Hadir ke majlis penerima penganugerahan adalah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), YBhg Prof. Dato Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan yang mewakili Naib Canselor USIM bersama Dr Ummi Salwa Ahmad Bustamam, Pengarah PPKS USIM dan kakitangan bagi sama-sama meraikan kejayaan.

 

Disediakan oleh:
Syazlyna Jamil
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204