NILAI, 18 Mei 2022 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) semalam menerima lawatan rasmi daripada Hakim Mohamed Mahmoud Abdelsalem yang juga merupakan Setiausaha Agung Muslim Council of Elders, Emiriah Arab Bersatu (UAE) serta Setiausaha Agung bagi The Higher Committee of Human Fraternity yang merupakan sebuah badan jawatankuasa antarabangsa bebas yang ditubuhkan untuk mempromosikan agenda dan nilai persaudaraan dalam kalangan insan.
Dalam majlis ringkas yang diadakan bertempat di Dewan Serbaguna Kolej Genius Insan USIM ini, Abdelsalem menyampaikan syarahan ringkas yang menyentuh isu keharmonian, peradaban dan pembangunan komuniti Islam di seluruh dunia. Dalam syarahan ringkasnya, beliau berkata bahawa, adalah penting untuk umat Islam mempunyai ilmu serta berusaha mendapatkan akses kepada pendidikan bagi memastikan syiar Islam dan ketamadunan yang sedia ada terpelihara. “Pembangunan yang yang ditunjukkan oleh Malaysia secara tidak langsung menjadi sumber kebanggaan kepada dunia Islam. Pelajar Kolej Genius Insan ini juga berupaya mengubah sejarah dan menerajui negara ini kearah yang lebih baik melalui kemajuan ilmu pengetahuan dan usaha keras mereka” jelas beliau lagi.
Beliau turut mengingatkan para tetamu yang hadir dalam majlis tersebut untuk mengekalkan keharmonian dan keamanan meskipun berbeza ras, agama dan bangsa.
Dalam kunjungan beliau ke USIM, beberapa agenda Pendidikan turut dibincangkan dan telah dicadangkan untuk diadakan pada masa akan datang bersama Muslim Council of Elders, antaranya Penubuhan sebuah kursi yang diberi nama “Grand Imam Ahmad Al-Tayeb” Chair for Global Peace Studies, penubuhan Akademi Belia serta penubuhan Pusat Bahasa Arab “Al-Azhar Al-Sharif” bagi membangunkan kemahiran bahasa Arab, untuk menyediakan perkhidmatan kepada pelajar Malaysia untuk mempelajari bahasa Arab sebagai persediaan untuk kemasukan mereka ke Universiti Al-Azhar.
Majlis tersebut kemudiannya diakhiri dengan sesi penyampaian cenderamata di antara kedua-dua agensi.
Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan