NILAI, 16 Jun 2020 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terima 2 unit mesin hemodialisis berjumlah RM 90,000 ribu hasil sumbangan dari Majlis Ugama Islam Pahang. Simbolik Penyerahan itu disampaikan sendiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Zakat Negeri Pahang YBhg. Prof Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Shukor Hj Husin.

Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Shukor dalam ucapannya berkata, MUIP sentiasa memikirkan aktiviti untuk kebaikan ummah di mana sumbangan yang diberikan dapat meningkatkan dan mengintegrasikan kemampuan komuniti. Sumbangan mesin ini juga bukan sahaja dapat dimanfaatkan kepada anak-anak Pahang, malah boleh diguna sama oleh semua.

Beliau juga menyatakan tiga bidang yang perlu diberikan bimbingan dan perhatian kepada umat Islam adalah pendidikan, perubatan dan keperluan harian. Seperti contoh, meningkatkan taraf pendidikan anak-anak asnaf supaya mereka dapat membantu keluarga dan keluar dari ’sistem’ asnaf serta meningkatkan taraf hidup keluarga.

Manakala dalam kenyataan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Prof Madya Dr. Mohd Rushdan Mohd Jailani  berkata, penubuhan awal Pusat Perkhidmatan Hemodialisis ini adalah dari cetusan idea YBhg. Tan Sri semasa beliau memegang Jawatan Naib Canselor USIM sebelum ini. Pusat Perkhidmatan Hemodialisis ini memberikan rawatan dialisis dan ubatan secara percuma kepada kakitangan, tanggungan kakitangan dan juga pelajar USIM.

”Sejak penubuhannya pusat hemodialisis pada tahun 2010 di Pusat Kesihatan Universiti, seramai 8 orang pesakit termasuk staf, tanggungan staf serta pelajar USIM yang telah menerima rawatan di pusat ini. Mudah-mudahan dengan sumbangan mesin ini Pusat Perkhidmatan Hemodialisis dapat meningkatkan penerimaan pesakit di kalangan staf, tanggungan staf dan pelajar yang memerlukan”.

 

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan

2020-06-17T16:30:59+08:00

Share This Story, Choose Your Platform!

Go to Top