NILAI, 19 Januari 2022 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sekali lagi diberi kepercayaan menjadi tuan rumah bagi penganjuran Jom Masuk IPT (JMIPT) 2022 Fasa 1 Zon 4 (Tengah) yang merupakan sebuah program mega pendidikan dan tarikan utama kepada pelajar sekolah, ibu bapa dan guru-guru untuk merancang serta mencari informasi berkaitan program pengajian yang ditawarkan oleh Institusi-institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Malaysia.

Sebagai tuan rumah, USIM komited untuk melaksanakan yang terbaik dalam menganjurkan program berskala besar ini dengan mengambil kira aspek keselamatan dan kesihatan pengunjung di samping menjanjikan kelainan untuk memberi impak kepada program.  Dijangkakan lebih dari 100 pempamer dari Institusi Pengajian Tinggi Awam  (IPTA), Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) seluruh negara dan Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA) akan menyertai karnival yang akan diadakan pada 26 dan 27 Februari ini.

Menurut Prof Madya Dr Nurkhamimi Zainuddin, Pengarah Pusat Pemasaran dan Kemasukan Pelajar (PPKP), penganjuran karnival JMIPT 2022 ini sebenarnya amat penting kepada bakal pelajar yang akan menyambung pengajian di peringkat yang lebih tinggi dan juga untuk mereka mendapatkan maklumat mengenai bantuan pinjaman pendidikan, biasiswa dan sebagainya.

“Peluang untuk melanjutkan pengajian tinggi di dalam negara begitu besar. Peranan guru-guru, ibu bapa penting untuk membawa anak-anak serta pelajar-pelajar ke karnival ini untuk bertemu dengan pegawai universiti, kaunselor, pegawai kementerian untuk membantu memberi pemahaman saluran pengajian dan biasiswa yang bersesuaian” katanya.

“Kami berharap agar pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Setaraf akan mengambil peluang untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai program akademik yang ditawarkan dengan melawati reruai pameran yang disediakan”, katanya lagi.

Antara aktiviti menarik sepanjang dua hari program itu berlangsung ialah pameran reruai IPT, persembahan kebudayaan, promosi kemasukan secara hybrid, seminar kaunseling, dan banyak lagi. Sebelum ini, USIM pernah menjadi tuan rumah penganjuran Karnival Pendidikan Tinggi Negara (KPTN) pada 2017 yang diadakan di Perkarangan Kompleks Sukan Tunku Najihah, USIM.

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan