NILAI, 5 Feb – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengumumkan penubuhan Pusat Pengembangan Integrasi Ilmu Naqli dan Aqli pada tahun ini. Pengumuman rasmi penubuhan Pusat inj dibuat sempena Majlis Amanat Tahun Baharu 2015 Naib Canselor USIM.

Penubuhan Pusat ini yang mempunyai visi menjadi pusat rujukan utama bertaraf antarabangsa dalam pengembangan integrasi ilmu Naqli dan Aqli untuk pembangunan negara dan kemanusiaan sejagat. USIM meletakkan sasaran menjadi Universiti rujukan serantau dalam integrasi ilmu Naqli dan Aqli pada 2016 (USIM’16) dan global menjelang 2025 (USIM’25).

“Pusat baru ini bakal menjadi penggerak utama untuk merealisasikan halatuju USIM iaitu menjadi universiti terkemuka dunia dalam integrasi ilmu Naqli dan Aqli melalui pendekatan pelan tindakan yang strategik, komprehensif dan efektif”.

“Ia juga akan memainkan peranan untuk menyebar luas falsafah, prinsip dan amalan integrasi ilmu Naqli dan Aqli dikalangan masyarakat khususnya organisasi awam dan industri melalui seminar dan program libat sama”. Ucap Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad, Naib Canselor dalam amanatnya sebentar tadi.

“Bertepatan dengan pemilihan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, inilah masanya USIM menonjol dalam falsafah yang kita wiridkan. Tahun 2015 inilah, kita perlu pacu segala usaha, rangka dan programkan segala perancangan supaya 2016 nanti, kitalah yang dicari dan dirujuk oleh rakan-rakan serantau; 10 negara dalam komuniti ASEAN. ” katanya lagi.

Pada majlis ini turut dilancarkan logo rasmi Sambutan 15 Tahun USIM (2000-2015) oleh Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Shukor Hj Husin, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti.

Disediakan oleh :

Zaini Othman

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204