NILAI, 18 Disember 2017 – Bertemakan Teaching Arabic: Fascinating & Creative, USIM bersama World Organization for Renaissance of Arabic Language (WORAL), sebuah badan yang dinaungi oleh Qatar Foundation menganjurkan Program Hari Bahasa Arab Sedunia 2017 diadakan bermula 14 hingga 19 Disember 2017 di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Nilai Springs Hotel. Program ini turut disenergikan bersama oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), dan Islamic Educational, Scientific and Cultural Organization (ISESCO) sebagai rakan strategik.

 Antara objektif program ialah untuk memperkasa penggunaan Bahasa Arab melalui program-program yang dirancang dan menyediakan wadah bagi perkongsian berkenaan penggunaan dan pengembangan Bahasa Arab di Malaysia khususnya. Selain itu program ini juga memberikan pengiktirafan kepada  individu-individu yang terlibat dalam pengembangan Bahasa Arab di Malaysia secara khusus.

 Pelbagai aktiviti menarik telah disusun sempena sambutan Bahasa Arab Sedunia 2017 ini antaranya pelaksanaan Pertandingan Tulisan Khat, Pertandingan Debat Inter-Varsiti, Forum, Bengkel, Persembahan Kalam Jamaie dan Deklamasi Syair.

”Bagi memelihara ketinggian dan keistimewaan Bahasa Arab, diharap penganjuran Hari Bahasa Arab Sedunia 2017 ini dapat memartabatkan Bahasa Arab melalui aktiviti-aktiviti Bahasa Arab yang berterusan ke arah mempertingkatkan penggunaannya dan mengembangkannya di kalangan bukan penutur jati melalui penghayatan ibadah harian, tadabbur bacaan Al-Quran dan memelihara seni warisan khat Bahasa Arab yang perlu dijaga agar ianya tidak lupus ditelan arus teknologi moden pada hari ini”.

”Sambutan Hari Bahasa Arab Sedunia 2017 ini merupakan sambutan kali pertama yang diadakan di USIM, dengan demikian, saya ingin menyarankan agar ianya disambut setiap tahun secara rasmi agar martabat dan kesucian bahasa ini terpelihara dan disanjung oleh dunia.” ujar Dr Yuslina Mohamed, Pengarah Hari Bahasa Arab Sedunia 2017.

Manakala Prof Dato Dr Musa Ahmad, Naib Canselor dalam ucapannya berkata kerjasama antara USIM dengan WORAL dan Yayasan Qatar untuk majlis ini adalah bagi memperkukuhkan lagi hubungan kedua-dua belah pihak selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) pada 2 Februari 2017 berlangsung di Qatar untuk menubuhkan Corner Bahasa Arab atau dikenali sebagai ’Ruknu Arabi’ bagi tujuan menggalakkan penggunaan bahasa Arab.

“Penganjuran program sambutan Bahasa Arab Sedunia 2017 kali ini telah menjalinkan kerjasama antara dua institusi dari dua negara iaitu; USIM (Malaysia) dan World Organization for Renaissance of Arabic Language (Kerajaan Qatar). Usahasama ini menjurus  ke arah mengembangkan Bahasa Arab di Rantau Asia, yang mana ia akan menjadi pusat aksesibiliti masyarakat kepada pembelajaran dan pendidikan Bahasa Arab  yang lebih menarik dan berinovasi. Pengendalian program-program  dan akviti-aktiviti  Bahasa Arab seperti yang dilaksanakan sepanjang program berlangsung merupakan contoh aktiviti-aktiviti yang berterusan bagi membentuk keyakinan berbahasa Arab, dan membantu membangunkan kemahiran berbahasa Arab yang kreatif, inovatif dan  menguasai komunikasi Bahasa Arab”, tambah Dato Musa.

 

Disediakan oleh:
Syazlyna Jamil
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204

 

 

 

 

2017-12-26T11:17:00+00:00