NILAI, 23 SEPT 2016 – Program Wacana Dewan Kosmik yang bertajuk Pokemon GO: Keselamatan Terancam: Dari Perspektif Islam dan Keselamatan Maklumat telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelajar USIM tanpa mengira tahun dan bidang pengajian yang diadakan pada 23 September 2016.
Program wacana ini dimulakan dengan majlis perasmian Seminar Kebangsaan Sains Islam Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Majlis perasmian ini diadakan sempena pembukaan 6 seminar yang bakal berlangsung bermula dari 24 Sept – 8 Okt 2016. Majlis dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dato’ Dr. Mustafa Mohd Hanefah dengan gimik memotong kek dan video berdurasi pendek yang memaparkan maklumat penting bagi keenam seminar anjuran FST.
Pengarah program, Muhammad Harith Bin Noor Azam memberitahu, tujuan wacana ini diadakan adalah untuk memberi kesedaran kepada pelajar universiti berkenaan bahayanya aplikasi atas talian khususnya Pokemon GO sekiranya digunakan tanpa langkah-langkah keselamatan yang sewajarnya. Wacana ini juga diadakan sebagai acara pembukaan bagi Seminar Jaminan dan Keselamatan Maklumat (IS@S’16) yang dikendalikan oleh saudara moderator, Muhammad Rushaidi Hafidzi bin Rahimi bersama 2 orang panel yang hebat iaitu En. K. Juslly, Ketua Jabatan di Jabatan Pelaksanaan Jangkauan, Suruhanjaya Komisyen Komunikasi Malaysia (SKMM) dan En. Khairul Azhar, Imam Muda Astro Oasis musim pertama.
Para panel berjaya mengupas isu berkenaan aplikasi Pokemon Go dengan bernas dan tuntas. Antara soalan dan isu yang sempat dibincangkan adalah mengenai garis panduan penggunaan aplikasi atas talian dari sudut keselamatan maklumat dan Islam di samping piawaian yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia untuk menjaga keselamatan pengguna aplikasi ini.
Penasihat IS@S’16, Dr Sakinah Ali Pitchay memberitahu wacana ini turut mendapat sumbangan penajaan dan kerjasama dari Dewan Bahasa dan Pustaka serta SKMM. “Secara keseluruhan, wacana ilmiah ini berjaya menarik minat mahasiswa USIM dan dianggarkan sekitar sembilan ratus lebih peserta yang hadir berdasarkan rekod kehadiran,” katanya.
Program berakhir dengan penyerahan cenderamata kepada ahli panel, moderator dan pihak penaja seterusnya disusuli dengan jamuan ringkas oleh pihak penganjur.
Disediakan Oleh:
Muhammad Harith Bin Noor Azam
Pelajar Tahun 3 Program ISA, FST, USIM
Dikemaskini oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204