NILAI, 23 Oktober 2020 – Mengambil inisiatif dan menzahirkan kepekaan dalam mengenali cabang lain dalam halatuju kerjaya, dalam masa pandemik COVID-19 ini, Pusat Libatsama Masyarakat dan Jaringan Industri (PLiMJI) membawakan perbincangan webinar bertajuk Keusahawanan Sosial : Hala Tuju Kerjaya Pasca COVID-19 yang bersiaran melalui aplikasi Zoom dan facebook PLiMJI USIM.

Webinar kali ini memperkenalkan dua orang panel usahawan sosial yang berjaya membangunkan konsep penyelesaian masalah sosial, dalam bidang dakwah dan penjagaan warga emas iaitu En. Zulkarnain Hasan Basri dari Japan Da’wah Centre dan Nippon Muslim Corporation dan Pn. Hjh Asral Widad, Pengasas dan Pengerusi Pusat Jagaan dan Pendidikan Warga Emas Darul Insyirah dan juga Pelantikan sebagai Mentor Keusahawanan Pelajar, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

”Sebagai penganjur program, PLiMJI mengharapkan program webinar seperti ini boleh memberi kesedaran kepada masyarakat dan pelajar bahawa halatuju kerjaya adalah luas selain keusahawanan sosial merupakan salah satu bidang yang wajar diceburi dan diperluaskan. Ia bukan sahaja memberikan pulangan dunia malah membawa jaminan pelaburan akhirat. Selain melaksana aktiviti sosial, dapat juga menimbulkan sikap prihatin terhadap kesusahan dan meringankan penderitaan kelompok masyarakat di luar sana,” ujar Dr Hanim Misbah, selaku Timbalan Pengarah PLiMJI, yang juga moderator program webinar.

Tambahnya lagi, peluang ini harus dimanfaatkan oleh semua apatah lagi di era pasca COVID-19 yang memerlukan kita meneroka banyak industri baru yang diperlukan oleh masyarakat, justeru,keusahawan sosial atau Social Entrepreneurship adalah satu perkembangan terkini yang inovatif dalam menawarkan penyelesaian sesuatu masalah berkaitan sosial.

”Ia bermula dari satu minat, semangat kesukarelawanan dan cita-cita untuk mengubah sistem dan menyelesaikan masalah yang wujud dengan tidak hanya mengharapkan kerajaan. Keusahawanan Sosial menggunakan prinsip-prinsip keusahawanan untuk membangun dan mengurus satu bentuk industri dalam mencapai matlamat sosial. Mereka menawarkan latihan, pekerjaan dan perkembangan kerjaya. Tambahan, usahawan sosial memahami isu yang sedang dihadapi dan mencari formula untuk menyelesaikan masalah sosial yang ada. Mereka mendapat kepercayaan dan sokongan yang besar dari masyarakat,” ujarnya lagi.

Webinar ini diharap dapat memberikan inspirasi kepada masyarakat dan pelajar secara asas berkaitan keusahawan sosial. Maklumat lanjut berkaitan perkara ini boleh didapati di facebook PLiMJI, iaitu facebook.com/PLMJI/. Manakala maklumat lanjut organisasi panel, En Zulkarnain boleh dilayari di facebook.com/JapanDawahCentre dan facebook.com/NipponMuslimCorporation dan Pn Widad, di facebook.com/pacuummah

Disediakan oleh:
Najihah Udah
Penolong Pendaftar Kanan
Pusat Libatsama Masyarakat dan Jaringan Industri

Dikemaskini oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan